Serius jadi anak seni

Serius jadi anak seni

georgie@hmetro.com.my

Terus bersinar dalam industri muzik sehingga kini, dua penyanyi ini sememangnya permata yang cukup berharga.

Wany Hasrita dan Ara Johari bukti bidang seni suara tempatan memiliki bakat hebat seperti mereka.

Kini bernaung di bawah pengurusan sama, Wany dan Ara berazam akan terus mencetak profil terbaik dalam kerjaya masing-masing. Mereka serius menjaga periuk nasi sebagai penyanyi selain terus maju hebat ke depan.

Bagi Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 33, dia paling bersyukur dikurniakan sistem sokongan terkuat di sekelilingnya. Secara tidak langsung, reputasinya sentiasa terpantau.

Penyanyi lagu Menahan Rindu ini tidak terlepas dibelenggu kebimbangan akan tersilap langkah. Namun, menurutnya dia sentiasa yakin rezeki penentu segalanya selain kesedaran perbetulkan kesilapan.

“Saya tak boleh kawal apa yang orang perkatakan dan anggap mengenai saya. Tapi, paling penting bagi saya adalah apa niat masuk dalam industri, mencari rezeki dan sentiasa menjaga periuk nasilah.

“Kadang-kadang ada juga kerisauan andai terlanjur silap. Kalau berlaku pun, walau seteruk mana, masih ada peluang untuk kembali betulkan keadaan.

“Alhamdulillah, saya mempunyai sistem sokongan yang sentiasa mengingatkan saya apa tujuan masuk dalam industri supaya tidak tersilap langkah,” katanya.

Wany tidak menolak keberhasilannya terus relevan dalam industri tidak lain kerana dia sentiasa produktif. Penting buatnya untuk kekal memastikan namanya terus diingati ramai.

“Apa-apa pun, berbalik kepada soal rezekilah. Saya sebagai seorang penyanyi semestinya kena sentiasa keluarkan naskhah iaitu lagu setiap tahun tanpa gagal. Ini supaya orang tahu saya masih menyanyi dan ada dalam industri.

“Selain itu, saya bersyukur memiliki peminat yang masih menyokong dan ambil berat sejak dulu sampai sekarang. Itulah petua iaitu kelab peminat yang ada bersama susah senang kalau hendak bertahan,” katanya.

Berkongsi sambutan Aidilfitri kali ini, ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata giliran beraya jatuh ke kampung halaman suaminya, Mohd Al-Adib Fahmi Harun, 33, di Kuching, Sarawak.

“Tahun ini saya sangat teruja kerana beraya di Kuching, di rumah keluarga suami saya. Macam biasa, hari raya di Kuching sangat-sangat ‘happening’. Tiga puluh hari beraya dan pakai baju raya.

“Memang saya persiapkan baju raya untuk pastikan cukup. Waktu pertama kali saya beraya di Kuching dua tahun lalu, saya tak cukup baju. Selain itu, lebih teruja kerana kami yang ‘buka’ rumah dan masak.

“Saya beraya seminggu di Kuching dan kembali ke Kuala Lumpur kerana sudah mula bekerja. Suami saya pun perlu ke Jepun untuk hadiri kursus. Balik lebih awal sebab tuntutan kerja,” katanya.

Sejak awal tahun juga, karier seni Wany memang tampak sangat rancak. Bagaikan tak lepas tangan, dia mengakui rezekinya murah termasuk menjadi duta jenama terkenal dari Korea Selatan.

“Walaupun baru bulan terawal, alhamdulillah rezeki saya terus ada. Saya dilantik menjadi duta jenama mi segera terkenal Korea Selatan, Nongshim Shin Ramyun bersama Khai Bahar.

“Januari lalu, kami dapat jayakan penggambaran drama pendek untuk TikTok di Korea Selatan. Pada Mac, saya berpeluang lagi mengacara rancangan Borak Dulu Baru Buka sepanjang Ramadan.

“Insya-Allah, akhir bulan ini saya akan keluarkan satu single baharu selain lagu raya tempoh hari. Alhamdulillah, saya dapat ikutlah segala perancangan yang diatur setakat sekarang,” katanya.

Takkan putus asa, kekal rendah diri

Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari, 28, akur perjalanan karier seninya tidak selalunya indah namun enggan mengalah. Jiwa seninya tetap kental untuk melakar jenama disegani.

“Alhamdulillah, perjalanan saya dipermudahkan dan takkan putus asa untuk kekal dalam industri hiburan. Sebab usaha tak mengkhianati hasil. Walaupun ada masa jatuh bangun, saya akan tetap terus usaha.

“Sejujurnya cabaran paling susah untuk kekal relevan ini adalah untuk mencari lagu yang terbaik mengikut telinga pendengar dan juga ‘trend’ semasa. Pastinya saya nakkan yang terbaik untuk dikeluarkan,” katanya.

Justeru, penyanyi kelahiran Akademi Fantasia 2016 (AF2016) ini sangat menitikberatkan soal adab, kelakuan dan kerendahan hati selain konsisten mengeluarkan karya muzik.

“Sebenarnya untuk kekal relevan tidaklah mudah. Tapi apa yang saya terapkan dalam diri adalah untuk kekal rendah diri, saling hormat sesiapa sahaja sama ada artis lama mahupun yang baharu.

“Satu lagi aspek paling penting yang kena benar-benar jaga untuk menjadi seorang anak seni adalah ‘attitude’. Kalau kita baik dengan orang, mesti orang pun akan selesa dan sayang kita,” katanya.

Penyanyi lagu Menjaga Jodoh Orang Lain itu cukup gembira sambutan Aidilfitrinya kali ini lebih bermakna. Meraikan bersama keluarga tercinta di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Ara juga seronok ada lagu raya sendiri.

“Alhamdulillah, sambutan raya sangat meriah seperti tahun-tahun sebelumnya. Seluruh isi keluarga pulang dan kami berkumpul di rumah di Kuala Pilah beramai-ramai.

“Paling ‘excited’ lebaran kali ni sebab saya ada lagu raya sendiri bersama trio Latah iaitu Zapin Malam Raya. Lebih menggembirakan sebab sambutan diterima sangat baik dan ramai buat trend lagu itu di TikTok,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top