Serlah dengan tepat

Serlah dengan tepat

nurul_husna@hmetro.com.my

Solekan boleh mencipta ‘keajaiban’ pada rupa wajah menerusi teknik dan alat solek yang baik.

Antaranya teknik melukis kontur wajah yang mana bertujuan mencipta ilusi supaya keterampilan wajah anda terutama wanita bertambah menarik.

Kontur dalam bahasa mudah difahami ialah teknik menanda dan menambah dimensi pada wajah dengan menggunakan solekan yang sedikit lebih gelap atau lebih terang daripada warna kulit sebenar anda.

Teknik ini dikatakan dapat memberi kelebihan iaitu bahagian yang dapat membantu untuk menonjolkan estetik bahagian wajah tertentu.

Namun begitu bagi memastikan hasil teknik ini sempurna, berikut antara kesilapan perlu dielak ketika menggunakan teknik terbabit.

Memilih tona bayangan terlalu gelap

Apabila bercakap mengenai teknik kontur, anda boleh memilih mengoles bahagian wajah dengan produk khusus untuk kontur atau gunakan sahap noda.

Tidak kira apa saja jenis produk solekan dipilih, disarankan menggunakan satu atau dua warna lebih gelap daripada warna kulit.

Jika tidak ilusi atau bayangan yang ingin dihasilkan tampak tidak semula jadi.

Menggunakan terlalu banyak penyerlah

Penyerlah antara produk menjadi pilihan ramai jurusolek atau wanita ketika membuat kontur.

Namun penggunaan penyerlah kadang-kala keterlaluan hingga membuatkan bayangan dan bahagian ingin ditonjolkan terlalu ketara.

Meskipun sedia maklum penyerlah boleh membantu meningkatkan ciri-ciri penting wajah, tetapi cukup sekadar dalam jumlah kecil untuk melakukannya.

Salah padan formula

Apa yang terlihat pada wajah apabila memasangkan penyerlah tekstur serbuk dengan produk kontur krim?

Itu akan membuatkan tekstur tampak tidak serasi dan menjejaskan pesona ilusi dicipta pada kontur.

Justeru, sebaiknya penggunaan solekan perlu sepadan seperti, formula krim dengan krim lain, cecair dengan cecair dan serbuk dengan serbuk.

Tidak peka dengan bentuk wajah

Jika anda mempunyai wajah bersudut atau bersegi, mungkin mahu ‘melembutkan’ rupa garis rahang.

Teknik mengguris kontur dilakukan dengan cara bermula dari tengah telinga ke arah dagu.

Berlainan dengan mereka yang mempunyai wajah bujur, kontur digunakan mempunyai pilihan untuk memendekkan rupa garis rahang dengan menggunakan rona gelap pada dagu dan garis rahang serta sebagainya.

Tidak fokus pada bahagian yang tepat

Pilihan perlu strategik dengan tempat meletakkan kontur dan sorotan anda.

Contohnya, kemasan teknik ini tampak lebih sempurna apabila menyapu warna gelap (warna kontur) di sekeliling garis rambut ke bawah bahagian hidung, di bawah tulang pipi dan di sepanjang garis rahang.

Sementara penyerlah, sapukan di bawah mata, ke bawah batang hidung, di antara kening dan di tengah dagu.

Hanya fokus pada satu bahagian

Jika masa bersolek terlalu singkat, pengguna kontur mungkin mempertimbangkan untuk membuat kontur hanya di kawasan penting.

Tetapi tindakan sedemikian boleh menghasilkan rupa tidak sekata dan tidak semula jadi.

Apabila membuat keputusan untuk menghasilkan kontur, pastikan melakukannya dengan cara seimbang supaya tidak berakhir dengan satu tempat sahaja digelapkan manakala seluruh muka kelihatan agak rata.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top