am@hmetro.com.my
Kuching: Keseronokan sekumpulan lelaki mandi di Sungai Rayu, Matang, di sini bertukar tragedi apabila dua daripada mereka lemas, hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Azli Abdul Kadir, 19, manakala seorang lagi yang berusia 27 tahun masih belum dikenal pasti.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.55 petang.
Menurutnya, sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya diketuai Pegawai Bomba Kanan II Asmadi Mohamad Nawei bersama tujuh anggota digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 31 kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi, kedua-dua mangsa sudah pun ditemukan oleh rakan mereka yang melakukan pencarian selepas menyedari kehilangan mangsa.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Hospital Lundu bagi proses bedah siasat.
© New Straits Times Press (M) Bhd