am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Trend segelintir pasangan merancang kehamilan pada awal perkahwinan tanpa merujuk kepada pakar perubatan akhirnya membawa ‘kesengsaraan’ apabila sukar mendapatkan zuriat.
Lebih menyedihkan pasangan yang pada awalnya ingin merancang mendapatkan zuriat terpaksa berbelanja besar untuk menjalani pelbagai rawatan kesuburan pada usia yang sudah lewat.
Tidak sekadar itu, psikologi pasangan yang ingin mendapatkan zuriat juga terganggu apabila kerap kali isu berkenaan ditanya, seolah-olah tiada usaha yang mereka lakukan.
Adli, 41 (bukan nama sebenar)
Mula berkahwin pada 2008, ketika itu dia dan isteri masing-masing berusia 24 dan 26 tahun. Mereka sememangnya merancang untuk tidak memiliki zuriat dalam tempoh dua tahun perkahwinan kerana ekonomi keluarga yang masih tidak menentu.
Ketika itu, Adli dan isteri tidak pernah berjumpa dengan pakar perubatan untuk mendapatkan nasihat mengenai perancangan keluarga kerana merasakan kesihatan kesuburan mereka dalam keadaan baik dan tidak perlu khuatir susulan usia masih lagi muda.
Katanya, dalam tempoh dua tahun itu, dia dan isteri tidak mengambil sebarang ubat-ubatan perancangan keluarga. Namun, selepas dua tahun apabila sudah bersedia untuk mempunyai anak, usaha mereka masih lagi gagal.
“Selepas tempoh dua tahun apabila isteri tiada menunjukkan tanda-tanda kehamilan, kami berjumpa dengan doktor dan pihak perubatan mengatakan kami dalam keadaan sihat. Namun, sampai di situ sahaja kerana untuk membuat rawatan lain saya dan isteri tidak berkemampuan.
“Pada masa sama, kami ada juga membuat rawatan tradisional. Rasanya sehingga kini sudah ribuan ringgit sudah dibelanjakan untuk rawatan kami berdua. Namun, masih tiada rezeki dan kami sehingga kini masih berharap tetapi sudah redha dengan ketentuan, ” katanya.
Adli berkata, perkara yang paling tidak dapat dilupakan adalah ketika berjumpa dengan saudara mara yang kerap bertanya mengenai soal kesuburan mereka berdua, seolah-olah tiada rasa sensitif mengenai persoalan itu.
“Pernah suatu ketika, hubungan saya dan isteri menjadi tegang kerana kami melawat seorang saudara terdekat dan terus diajukan soalan mengenai zuriat di hadapan orang ramai.
“Kami jadi malu dan saya memarahi isteri supaya jangan datang ke rumah saudara itu lagi kerana merasakan individu itu tiada rasa empati mengenai keadaan kami yang seolah-olah tidak pernah berusaha. Namun, sekarang kami sudah di tahap reda dan tenang sahaja apabila ditanya soal zuriat,” katanya.
Farisha, 40, (bukan nama sebenar)
Pada tahun ini, Farisha dan suaminya masing-masing berusia 40 tahun sudah tujuh tahun melayari bahtera sebagai suami isteri.
Mereka berkahwin pada usia 33 tahun dan merancang untuk tidak mempunyai zuriat di awal tahun pertama perkahwinan kerana Farisha bekerja di Kuala Lumpur dan suaminya di Pulau Pinang.
Ketika itu, kekangan hidup berjauhan menyebabkan mereka merasakan kehadiran zuriat kan menjadikan kehidupan mereka lebih mencabar. Pada masa sama, kedua-duanya merasakan masih terlalu awal untuk memiliki anak dan ingin menikmati kehidupan bulan madu dalam tempoh itu.
Katanya, selepas tempoh tahun pertama perkahwinan, mereka berdua sudah bersedia untuk mempunyai anak. Namun, Farisha masih tidak menunjukkan tanda-tanda kehamilan.
“Jadi saya terus mengajak suami untuk membuat pemeriksaan kesihatan kesuburan di klinik kerajaan dan swasta.
“Ketika membuat pemeriksaan, doktor memaklumkan tempoh setahun itu masih awal lagi untuk kami melakukan rawatan kesuburan dan perlu bersabar. Kami juga diberitahu jika ingin membuat rawatan perlu selepas dua tahun. Selepas tempoh dua tahun, saya masih lagi tidak hamil,” katanya.
Jelasnya, pertama sekali dia melakukan rawatan clomid cycle selama empat kali namun masih tidak berjaya, kemudian intrauterine insemination (IUI) sekali masih tidak berjaya.
“Kini saya melakukan rawatan persenyawaan In-Vitro Fertilization (IVF) di sebuah hospital kerajaan. Dari segi penilaian kesuburan sebenarnya kami berdua ada masalah itu. Di peringkat awal suami saya mempunyai jumlah sperma yang tidak mencukupi.
“Apabila saya membuat saringan kesuburan di hospital kerajaan pula mendapati telur atau ovum saya juga tidak banyak dan tidak berkualiti,” katanya.
Katanya, selain daripada mendapatkan rawatan secara klinikal, dia dan suami juga berubat secara tradisional serta mengambil makanan tambahan yang dicadangkan oleh doktor untuk kesuburan.
“Dalam tempoh sekitar enam tahun ini, saya anggarkan sudah berhabis hampir RM30,000 untuk kami mengeluarkan kos bagi rawatan kesuburan,” katanya.
Ditanya mengenai kesan psikologi tidak mempunyai anak, Farisha berkata perkara itu tidak dapat dinafikan terutama apabila perlu berjumpa dengan orang ramai yang masih tidak sensitif mengenai persoalan memiliki zuriat.
“Kami paling gembira ketika sambutan hari raya pada perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana tidak perlu berjumpa dengan ramai orang terutama terdapat segelintir saudara mara yang sibuk bertanya mengenai anak kepada kami.
“Namun, saya bersyukur keluarga saya dan suami amat memahami dan sentiasa memberikan sokongan dari segi mental terutamanya dan tidak pernah menyalahkan saya atau suami,” katanya.
Katanya, kini dia dan suami sudah mencecah 40 tahun dan maklum mengenai risiko kesihatan dirinya sekiranya hamil pada usia berkenaan.
“Bagaimanapun kami masih lagi mencuba dan sudah ke saat ini, saya dan suami sudah di peringkat reda. Jika ada rezeki untuk memiliki anak…adalah.
“Saya pernah juga berbincang dengan suami untuk dia berkahwin lain bagi mendapatkan zuriat, tetapi suami memberitahu dia tidak terfikir untuk ke arah itu dan menasihatkan saya supaya sentiasa bersabar,” katanya.
Nora, 40 (bukan nama sebenar)
“Situasi yang buat tertekan apabila ada yang sibuk jadi Tuhan siap cakap kasihan tak ada anak. Nanti tua siapa nak jaga?
“Seolah-olah kami ini loser (orang gagal) sebab tak ada zuriat walaupun sudah 14 tahun berkahwin. Lagi bengang, apabila ada yang cakap sudah umur 40 ini lagi susah nak ada anak. Selepas itu bila umur tua kena pula jaga bayi,” jelas Nora ketika ditanya mengenai cabaran emosi yang perlu dilaluinya kerana tidak dikurniakan zuriat.
Nora berkata, dia dan suami berkahwin pada usia masing-masing 26 tahun dan ketika itu merancang untuk tidak mempunyai zuriat pada dua tahun di awal perkahwinan kerana ingin menikmati kemanisan hidup berdua terlebih dahulu.
Katanya, malah dia dan suami tidak terfikir untuk membuat saringan kesihatan kesuburan di awal tempoh perkahwinan kerana melihat kedua-kedua belah keluarga mempunyai zuriat yang ramai dan merasakan diri mereka masih muda dan mustahil untuk berlaku masalah kesuburan.
“Selepas tahun ketiga, saya mula merasa pelik kerana sudah bersedia tetapi tidak hamil. Jadi, kami berjumpa pakar kesuburan di klinik kerajaan dan swasta. Sehingga kini, di dalam penilaian pakar keadaan kami sihat sahaja sebenarnya.
“Jalan terakhir walaupun sudah mencecah usia 40 tahun ini, saya membuat rawatan IVF di sebuah hospital kerajaan. Bagi saya tidak mengapa mengenai risiko kerana semuanya bergantung kepada takdir,” katanya.
Jelasnya, sehingga kini dia dan suami sudah berhabis hampir RM50,000 untuk rawatan kesuburan sama ada secara klinikal atau pun rawatan tradisional.
“Saya sebenarnya sedikit ralat kerana di awal perkahwinan kami merancang dan sebenarnya tidak perlu kerana kehadiran zuriat itu adalah rezeki,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd