Sertai ATM bukan sekadar tugas, tapi tanggungjawab pada negara

Sertai ATM bukan sekadar tugas, tapi tanggungjawab pada negara

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Usaha memperkasa advokasi kerjaya ketenteraan dalam kalangan masyarakat bukan Bumiputera perlu dipergiatkan bagi memecahkan persepsi salah dan meningkatkan penyertaan golongan itu dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Yang Dipertua Kelab Veteran Komando Malaysia Zon Utara, Sani Osman berkata, agensi berkaitan perlu melaksanakan pendedahan secara lebih meluas bersama komuniti dan bekas anggota tentera dalam mempromosikan kerjaya ATM sebagai satu tanggungjawab bersama, bukan hanya disandarkan kepada kaum Bumiputera.

“Pendedahan dan advokasi perlu diperkasa oleh agensi berkaitan yang bekerjasama lebih aktif dengan komuniti setempat dan bekas anggota tentera dalam mempromosikan kerjaya ATM secara menyeluruh.

“Kekurangan rekrut dalam kalangan masyarakat bukan Bumiputera masih ketara dan memberi gambaran seolah-olah tanggungjawab mempertahankan tanah air hanya dipikul oleh satu kaum sahaja,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, penyertaan rekrut golongan bukan Bumiputera masih berada pada tahap yang rendah, sedangkan tanggungjawab mempertahankan negara adalah milik bersama tanpa mengira kaum.

“Antara kekangan utama yang mengekang penyertaan golongan muda adalah persepsi negatif terhadap kerjaya ATM, termasuk anggapan bahawa ia satu bentuk penyiksaan dari sudut kehidupan dan beban tugas,” katanya.

Mengulas lanjut, Sani berkata, suasana latihan dan kerjaya ketenteraan masa kini jauh lebih baik berbanding dahulu kerana sudah melalui banyak penambahbaikan dari segi teknologi dan sistem latihan.

“Kita bukan lagi berada dalam zaman 70-an, 80-an atau 90-an. Sekarang kita berada dalam era teknologi, jadi cara latihan dan sistem dalam tentera juga sudah banyak berubah dan lebih moden,” katanya.

Menurutnya, pembabitan semua kaum dalam ATM bukan sahaja mengukuhkan kekuatan pasukan keselamatan negara, malah memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia secara keseluruhan.

Sani turut menyifatkan kerjaya dalam ATM sebagai satu bentuk pengorbanan yang mulia dan wajar dihargai oleh masyarakat.

“Kalau ajal menjemput, ia boleh berlaku di mana-mana saja. Tapi lebih baik jika kita mengorbankan nyawa demi agama, bangsa dan negara, daripada kehilangan nyawa begitu saja di jalan raya,” katanya.

Terdahulu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar menyeru lebih ramai rakyat bukan Bumiputera menyertai ATM berikutan jumlah penyertaan golongan itu masih rendah ketika ini.

Mohd Nizam dipetik berkata, ATM perlu dilihat sebagai antara peluang kerjaya profesional yang terbuka untuk diceburi dan bukan lagi terikat dengan tanggapan lama terhadap persekitaran atau bentuk latihannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top