Pelakon, Imran Aqil yang mengakui detik menuju penyertaan acara sukan lasak IRONMAN 70.3 penuh liku, bukan sahaja dari segi fizikal malah melibatkan rumah tangganya.
Menerusi perkongsian di TikTok, Imran mendedahkan, tindakannya mendaftar acara itu tanpa berbincang bersama isteri, Dahlia Rizal menyebabkan berlaku pertelingkahan besar dalam rumah tangga mereka.
Aktor drama rantaian Budak Tebing 3 ini menjelaskan punca pergaduhan tersebut tercetus kerana gagal mengimbangi latihan intensif, dan tanggungjawab sebagai seorang suami serta bapa.
“Aku selfish bila register IRONMAN 70.3 tanpa bagitahu Dahlia. Gaduh besar pernah berlaku hanya kerana kegagalan aku urus masa dengan baik. Pressure is real. Bila training tak cukup, aku risau tak mampu habiskan dengan baik.
“Dalam masa yang sama, aku makin kurang luangkan masa dengan keluarga. Anak sulung kami baru empat bulan, Dahlia pula masih dalam fasa pemulihan selepas pantang.
“Saat dia perlukan sokongan suami, aku pula sibuk kejar impian. Kalau nak jujur memang wrong timing,” katanya.
Namun, di sebalik cabaran itu, Imran bersyukur apabila Allah menghadirkan sokongan keluarga mentua dan pengorbanan Dahlia yang tabah menjaga anak mereka, Yusra, menjadi kekuatan utama buatnya.
“Dengan komunikasi ikhlas, keluarga dan mentua sanggup hulurkan tangan jaga Yusra. Dan paling besar, sokongan Dahlia. Terima kasih sayang kerana tetap ada, tetap memahami, tetap jaga Yusra dengan penuh kasih sayang walaupun aku kadang hilang dalam kerja dan training.
“Moga Allah angkat darjatmu kerana jadi isteri yang sabar, kuat dan luar biasa. I love you,” katanya penuh emosi.

Mengakui IRONMAN 70.3 adalah salah satu impian terbesar dalam hidupnya, Imran kini menaruh harapan tinggi agar mampu menamatkan cabaran itu dengan cemerlang.





