Sesak 14 km, bas terbabas di PLUS berdekatan Ainsdale

Sesak 14 km, bas terbabas di PLUS berdekatan Ainsdale

am@hmetro.com.my

Nilai: Kemalangan di KM 275.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berdekatan Bandar Ainsdale membabitkan sebuah bas persiaran menyebabkan kesesakan trafik sepanjang 14 kilometer (km).

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, kemalangan jam 6 petang itu menyebabkan pemandu bas parah akibat tersepit.

“Kemalangan berlaku selepas bas yang membawa 15 penumpang bersama seorang kelindan terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

“Pemandu bas berusia 46 tahun tersepit dan mengalami cedera parah berjaya dikeluarkan pihak bomba, manakala kelindan bas dan lima penumpang cedera ringan,” katanya.

Sementara itu, status terkini yang dikongsikan menerusi saluran Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) Info Trafik memaklumkan keadaan trafik masih sesak setakat jam 7.19 malam tadi.

“Bomba masih berada di lokasi dan menunggu kenderaan penunda bagi kerja pengalihan bas.

“Lapan penumpang bas yang tiada kecederaan sudah bergerak dari lokasi menaiki bas lain. Trafik sesak 14KM,” menurut kenyataan LLM Info Trafik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top