KUALA LUMPUR: Polemik dan perebutan jawatan Perdana Menteri secara berterusan dalam kalangan pemimpin parti politik, dilihat hanya akan membuatkan mereka ‘sesat’ serta terkeluar daripada tanggungjawab sebenar untuk membantu rakyat.
Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, berkata walaupun ada pihak dalam parti politik yang menolak kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun hingga kini mereka belum membuktikan terdapat individu lain memperoleh sokongan majoriti bagi jawatan Perdana Menteri.
Beliau menegaskan, tindakan beberapa parti politik menolak tawaran rangka persefahaman rentas parti dicadangkan Perdana Menteri, semalam, secara tanpa perbincangan panjang, dilihat bagaikan sudah hilang arah.
“Jawatan Perdana Menteri (keabsahan) bukan isu di sini. Isunya ialah sama ada kita (kerajaan dan pembangkang) boleh bertindak bersama dan melakukan secara bersama demi kepentingan rakyat… mereka tidak nampak perkara ini.
“Ada yang melihat tawaran itu mengikut kepentingan berbeza-beza. Justeru, respons kepada tawaran itu dilihat belum jelas daripada mana-mana pihak, kecuali beberapa pemimpin pembangkang yang saya kira mereka melihat kepada impak jangka panjang beberapa tawaran itu.
“Pemikiran itu memperlihatkan bahawa mereka memandang jauh sama ada perlu menyokong atau membangkang semberono,” katanya ketika menjadi tetamu jemputan secara maya dalam program Ruang Bicara yang disiarkan Bernama TV, hari ini.
Tetamu jemputan secara maya yang lain ialah penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian; Pensyarah Kanan Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub, serta Pengurus Unit Demokrasi dan Tadbir Urus Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Aira Azhari.
Mengulas lanjut, Shamsul Amri berkata, Pilihan Raya Umum (PRU) adalah medan sebenar untuk menguji keabsahan kerajaan dan kedudukan Perdana Menteri.
Sementara itu, Aira berkata, jika ada pihak mendakwa kerajaan dilihat gagal dalam konteks pengurusan pandemik COVID-19, pembangkang pula dilabel tidak mampu bersatu untuk menjalankan peranan mereka.
Ketika ini, beliau berkata, visi dan misi serta cadangan untuk membawa negara keluar daripada krisis kesihatan yang dikemukakan pembangkang, dilihat sebagai kurang.
“Kelemahan pembangkang ialah mereka kurang wawasan dan visi untuk negara ini, dan kita masih lagi menanti perkara ini,” katanya. – BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd




