am@hmetro.com.my
Georgetown: Sesi persekolahan di Pulau Pinang akan berjalan seperti biasa esok, berikutan situasi jerebu terkini di negeri ini.
Keputusan itu dicapai hasil pemantauan dan mesyuarat Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) yang diadakan pada jam 6 petang tadi.
Pengarahnya, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan berhubung situasi jerebu berkenaan dari semasa ke semasa.
“Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS), sesi persekolahan akan diteruskan seperti biasa esok.
“(Namun) Tiada aktiviti luar bilik darjah buat masa sekarang dan Bilik Gerakan JPN masih memantau keadaan.
“Khidmat nasihat daripada Kementerian Kesihatan KKM) juga akan diminta bagi membimbing soal penjagaan kesihatan ketika keadaan jerebu,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, Mohamad Dziauddin dilapor berkata, keputusan sama ada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) atau menangguhkan aktiviti luar bilik darjah bagi sekolah tertentu di Pulau Pinang dilakukan berdasarkan trend bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada jam 6 petang.
Beliau dipetik berkata, pihaknya memantau rapi bacaan IPU setiap dua jam menerusi ‘War Room’ JPNPP, sejak 13 Ogos lalu.
Sebelum itu, Exco Perumahan dan Alam Sekitar Datuk Seri S Sundarajoo dalam kenyataannya memaklumkan, sebanyak empat stesen pemantauan IPU merekodkan bacaan tidak sihat iaitu di Minden dengan bacaan (167), Balik Pulau (164), Seberang Jaya (162) dan Seberang Perai (160).
© New Straits Times Press (M) Bhd
