Sesi persekolahan menengah 4, 5 April diteruskan, kata menteri

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp
Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin berkata secara keseluruhan lebih lima juta murid di seluruh negara termasuk pelajar sekolah menengah akan kembali ke sekolah pada 4 dan 5 April ini.

BATU PAHAT: Sesi persekolahan secara bersemuka bagi peringkat menengah yang dijadualkan bermula pada 4 dan 5 April ini akan diteruskan walaupun terdapat 41 kluster Covid-19 di semua peringkat institusi pendidikan dilaporkan sejak 1 Jan lalu hingga semalam.

Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin berkata persekolahan akan diteruskan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Beliau berkata, kementerian juga akan meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa supaya pelajar dapat mengikuti sesi pembelajaran dengan selamat.

“Kalau kita teliti data yang diberikan itu, jumlah keseluruhan berlaku di pelbagai institusi pendidikan dan kita telah ikut seperti mana SOP yang ditetapkan,” katanya.

Secara keseluruhan lebih lima juta murid di seluruh negara termasuk pelajar sekolah menengah akan kembali ke sekolah pada 4 dan 5 April ini.

“Kita sudah sediakan SOP terbaik, jadi, kita harap semua pihak termasuk ibu bapa, sekolah dan semua pihak bagi sokongan, patuhi semua supaya sesi sekolah dapat diteruskan dalam keadaan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis ramah mesra dan penyerahan peruntukan penyelenggaraan untuk sekolah di Parlimen Batu Pahat.

Sesi persekolahan secara bersemuka dilakukan secara berperingkat dengan murid sekolah rendah tahun 3 hingga 6 hadir ke sekolah pada 8 Mac lalu manakala murid prasekolah, tahun 1 dan 2 pula bermula, pada 1 Mac lepas.

Bagi murid sekolah menengah kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu), mereka akan memulakan sesi persekolahan pada 4 April manakala sekolah di negeri lain akan bermula pada 5 April ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat 41 kluster Covid-19 di semua peringkat institusi pendidikan dilaporkan sejak 1 Jan lalu hingga semalam.

Daripada jumlah itu, sebanyak 15 kluster melibatkan pusat pengajian tinggi, 11 kluster sekolah menengah, 10 kluster pra sekolah dan sekolah rendah serta lima kluster pusat tahfiz dan madrasah yang dilaporkan dalam tempoh hampir tiga bulan itu.

Ia termasuk tiga kluster baharu yang diumumkan semalam iaitu kluster Paloh Rambai, Merinding, dan kluster Persiaran Maktab.