Sesuai dengan kehendak generasi masa kini

Sesuai dengan kehendak generasi masa kini

am@hmetro.com.my

MESKIPUN lambakan lagu raya di pasaran ketika ini, pasangan penyanyi popular, Ernie Zakri dan Syamel tidak gentar mempertaruhkan single raya terbaharu mereka berjudul Suasana Raya buat peminat.

Menurut Ernie atau pemilik nama Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, dia juga tidak bimbang dari segi persaingan dengan lagu raya dendangan artis lain kerana masing-masing mahu sama-sama meraikan hari kemenangan umat islam itu.

“Alhamdulillah, setakat ini, tidak timbul isu terbabit dari pihak saya dan Syamel kerana kami sudah mencuba sebaik mungkin untuk sentiasa berikan yang terbaik pada lagu yang dihasilkan.

“Sebab lagu raya ini, walaupun kita buat muzik, ia tidak ada ‘rule’ (peraturan) tapi nak tak nak kena ada sedikit ‘guideline’ (garis panduan) bila buat lagu raya.

“Lagu raya kena ada bunyi yang orang akan ingat itu macam lagu raya. Tapi bila bercakap mengenai lagu raya zaman sekarang, kita pun tak boleh nak beri tahu ia akan jadi ‘evergreen’ (malar segar) atau tak kerana yang akan lalui nanti adalah anak-anak kita,” kata Ernie ketika ditemui pada sidang media pelancaran single raya terbaharu bersama suaminya, Syamel berjudul Suasana Raya di pusat beli-belah di Putrajaya.

Mengulas lanjut, kata Ernie yang memiliki anak perempuan, Nur Khawla Soleha, 4, lagu raya dendangannya dan Syamel itu berbeza zaman.

“Sebab saya boleh ‘relate’ (kaitkan) dengan anak perempuan saya, Khawla di mana baginya lagu raya dia ialah ‘Raya, Raya, Raya’ (dendangan Dolla).

“Jadi nak sebut mengenai ‘evergreen’ atau ikut ‘trend’ atau bunyi yang tak patut itu pada saya ia di tujukan pada generasi juga. Jadi kebimbangan itu yang saya fikirkan dan kami cuba sebaik mungkin untuk orang boleh ‘relate’ selagi cerita raya itu sampai, Insya-Allah, okay saja,” katanya.

Kata Ernie lagi, apa yang penting, lagu raya yang dihasilkan itu sesuai dengan ‘trend’ zaman sekarang.

“Kita juga mahu gunakan medium media sosial di mana anak-anak kita bila dengar lagu raya, mereka boleh ‘relate’ dan rasa nikmat suasana raya itu mengikut zaman mereka,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai single Suasana Raya pula, kata Ernie, ia kolaborasi istimewa bersama Hong Kong Tourism Board yang turut menampilkan penggambaran muzik video di beberapa lokasi menarik serta destinasi mesra Muslim di sekitar Hong Kong.

Katanya, Hong Kong adalah destinasi yang sangat sesuai dengan lagu dan video muzik berkenaan kerana ia ‘Muslim-friendly’ dan memudahkan mereka mencari pelbagai pilihan makanan halal, antaranya di Islamic Centre Canteen.

“Kami juga berpeluang melawat tempat ibadah seperti Kowloon Mosque. Selain itu, terdapat banyak tarikan pelancongan mesra keluarga seperti Ocean Park dan ia satu pengalaman yang sangat bermakna apabila kami dapat menjalani penggambaran sambil meluangkan masa bersama keluarga di sana.

“Suasana bandar Hong Kong yang ‘vibrant’ dan dinamik turut menjadi inspirasi kepada konsep keseluruhan video muzik terbabit.

“Budaya dan persekitaran di sana memberikan elemen visual yang moden dan unik, selari dengan lagu ini yang menggabungkan elemen raya tradisional dan moden,” katanya.

Dikenali dengan lagu-lagu balada yang penuh emosi, Ernie menyifatkan proses rakaman lagu Suasana Raya sebagai satu pengalaman yang menyeronokkan dan berbeza.

“Lagu ini sangat santai dan menghiburkan. Apabila merakamkannya bersama Syamel, proses itu menjadi lebih mudah dan penuh keseronokan dan kami dapat benar-benar menikmati setiap momen,” katanya.

Terdahulu, Ernie dan Syamel pernah muncul dengan lagu raya berjudul Seru Hari Lebaran sebelum ini.

Ramadan sibuk ikuti kelas Khairul Aming

Selain mempromosikan lagu raya, Ernie juga banyak meluangkan masa bersama keluarga di rumah sama seperti Ramadan tahun lalu.

Kata Ernie, dia juga banyak menghabiskan masa di dapur pada Ramadan sejak menjadi pelajar kelas memasak secara maya, siri 30 Hari 30 Resipi pempengaruh terkenal, Khairul Aming atau lebih dikenali sebagai KA pada tahun ini.

“Saya memang betul-betul nekad untuk memastikan setiap resipi harian yang dimuat naik KA itu berjaya dicuba tahun ini.

“Jadi Ramadan kali ini saya aktif di dapur dan mencuba semua resipi yang dimuat naiknya di media sosial. Cuma resepi Puding Karamel saya tak cuba sebab memang aib.

“Terima kasih pada Syamel yang sentiasa beri dorongan untuk saya mencuba semua resepi itu,” ujarnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top