hifzuddin@bh.com.my
Jitra: Penduduk enam kampung mendesak pihak berkuasa memantau kerja penurapan semula Jalan Kuala Nerang-Changlun yang didakwa dilaksana secara sambil lewa sehingga membahayakan mereka.
Laluan sejauh kira-kira tujuh kilometer itu terbabit dengan projek penanaman paip air bermula Jun tahun lalu dan kerja itu disiapkan kontraktor sekitar April lalu.
Setiausaha Masjid Annur Kampung Darat, Othman Ali berkata, bagaimanapun masalah timbul apabila kerja menurap semula laluan yang dikorek bagi kerja menanam paip tidak dibuat secara sempurna.
Katanya, jalan terbabit menjadi laluan utama bagi kira-kira 1,000 penduduk kampung termasuk orang ramai yang berulang alik ke Changlun dan Sintok setiap hari.
“Selama lebih setahun penduduk melihat jalan kami ‘dicincang’ kontraktor, tetapi apabila projek selesai, jalan tidak diturap kembali mengikut keadaan asal, malah menjadi laluan bahaya.
“Ada bahagian jalan ditinggalkan dengan batu kerikil sahaja, ada laluan berturap menjadi mendap sehingga hanya sebelah jalan sahaja yang boleh dilalui penduduk,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Seorang lagi penduduk, Ibrahim Arifin, 61, berkata, laluan terbabit kini menjadi bahaya apabila pengguna cuba mengelak jalan yang rosak dan masuk ke laluan bertentangan.
Katanya, sudah beberapa kali kejadian kemalangan berlaku terutamanya membabitkan pengguna luar yang tidak menyedari laluan terbabit mengalami kerosakan teruk.
“Minggu lalu seorang penunggang motosikal terbabit kemalangan sehingga patah kaki, kenderaan penduduk sudah banyak kali masuk ke dalam lubang di tengah jalan.
“Kami bukan menolak pembangunan, tetapi apabila siap kerja kena turap balik seperti keadaan asal. Jalan ini berpuluh tahun dalam keadaan elok dan rata,” katanya.
Perkara sama turut diluahkan Abdul Haris Mohamad Salleh, 62, yang meminta pihak berkuasa memantau kerja penurapan yang dilakukan pihak kontraktor agar mereka mematuhi spesifikasi jalan ditetapkan.
“Mereka korek separuh jalan tetapi turapan semula tidak dibuat kontraktor dengan betul sehingga keadaan berbahaya kepada pengguna, terutama di laluan selekoh dan simpang jalan.
“Kami cuma minta pihak berkuasa datang lihat masalah dihadapi penduduk dan minta kontraktor yang melakukan kerja menanam paip bertanggungjawab dalam melakukan penurapan semula,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




