Penyanyi popular, Khai Bahar sekali lagi diduga apabila bapanya, Baharuddin Bakri, 66, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tunku Fauziah, Kangar, Perlis sekitar jam 9.30 malam tadi akibat komplikasi beberapa penyakit.
Memetik laporan Berita Harian, perkara itu disahkan pengurus Khai, Mohammed Rizal Mohammed Yasin atau lebih dikenali sebagai Jai, menerusi satu kiriman mesej WhatsApp.
“Dengan penuh rasa dukacita dimaklumkan bahawa Pak Bahar, ayah kepada Khai Bahar, telah kembali ke rahmatullah di Hospital Tunku Fauziah, Kangar, pada 19 September jam 9.30 malam akibat penyakit kencing manis, strok dan buah pinggang.
“Jenazah Allahyarham akan dimandi serta dikafankan di Masjid Al-Arifin, Padang Katong, Perlis. Solat jenazah akan diadakan selepas solat Zohor sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Paduka,” katanya.
Di Instagram, Khai atau nama penuhnya Muhammad Khairul Baharuddin, 31, turut menzahirkan ucapan terima kasih atas doa dan kata-kata semangat yang dikirimkan oleh peminat serta rakan-rakan artis.
“Terima kasih semua atas doa. Insya-Allah arwah bapa saya akan dikebumikan selepas Zohor,” tulisnya ringkas.
Menjengah di ruangan komen, ramai peminat dan rakan selebriti menitipkan ucapan takziah serta mendoakan agar pelantun lagu Bayang itu dan keluarganya tabah menghadapi kehilangan insan tersayang.
Terdahulu, pada 2 Januari 2024, Khai turut kehilangan ibu tercinta, Allahyarhamah Rosnah Muhammad, yang meninggal dunia di Kangar, Perlis.
Sumber: Berita Harian




