am@hmetro.com.my
Sungai Petani: “Saya sering terbayang wajahnya biarpun sudah setahun berlalu, kematiannya secara mengejut, amat sukar untuk saya lupakan kenangan kami bersama,” kata Muhamad Salleh Othman, 58.
Bapa kepada mangsa nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos tahun lalu iaitu Allahyarham Muhamad Hafiz berkata, dia menyifatkan anak sulungnya itu sebagai insan yang baik dan tidak pernah menyusahkan kedua ibu bapa sama ada semasa hayatnya mahu pun selepas kematian.
Katanya, ini berikutan arwah seolah-olah sudah bersedia memudahkan segala urusan ahli keluarga sekiranya dia meninggal dunia.
“Semasa hayat, dia tidak pernah tinggikan suara dengan saya dan ibunya, Jamilah Ismail, 54, dia juga tidak pernah tunjuk dia susah, manakala selepas kematian, urusan pengecaman jenazah sehingga proses pengebumiannya sangat mudah.
“Segala proses dokumentasi untuk bank dan tuntutan insurans juga mudah, dia sudah catatkan dalam diari, tiada satu pun yang tertinggal, kami tidak perlu ke sana ke mari untuk lakukan proses berkenaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sidam Kiri, di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi terhempas ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Subang mengorbankan 10 nyawa iaitu lapan penumpang (enam penumpang dan dua anak kapal penerbangan) serta seorang pemandu e-hailing dan seorang penunggang motosikal (p-hailing).
Sebagai mengingati setahun pemergian arwah yang juga penunggang motosikal (p-hailing), Muhamad Salleh mengadakan kenduri tahlil dan bacaan Yasin di rumah mereka hari ini.
Bapa kepada lima anak itu berkata, dia tidak tahu apa lagi kebaikan arwah anaknya sehingga rakan sekerjanya dari Selangor akan datang menziarahi dan mengadakan bacaan tahlil di kubur arwah setiap dua atau tiga bulan sekali.
Katanya, rakan-rakan sekerja arwah turut akan menziarahi mereka di rumah selepas selesai tahlil di pusara arwah.
“Saya rasa sebak apabila rakan-rakannya sanggup datang walaupun jauh, mereka bertolak dari Selangor seawal jam 3 atau 4 pagi dan akan pulang semula ke sana pada hari sama semata-mata untuk ziarah kubur arwah.
“Ada seorang rakannya juga sudah dijemput Ilahi dalam kemalangan selepas lapan bulan kematian arwah, kawan arwah pernah kata kenapa Allah ‘tak ambil’ dia dulu sebelum arwah, apabila rakannya sudah meninggal dunia, saya dapat rasa betapa akrabnya persahabatan mereka,” katanya.
Muhammad Salleh berkata, perasaan rindu terhadap arwah sedikit terubat apabila Allah menghadirkan seorang cucu lelaki yang wajahnya hampir seiras dengan arwah semasa kecil.
Katanya, telatah cucunya yang kini berusia 10 bulan juga hampir sama dengan arwah apabila mahu bersiar-siar dengan motosikal selepas dia pulang daripada berniaga.
“Arwah dulu pun sama, apabila saya pulang kerja, dia akan ajak ronda-ronda naik motosikal, sekarang cucu saya pula, walaupun letih lepas pulang berniaga tapi apabila cucu ajak dan lihat wajahnya seperti Muhammad Hafiz, saya tetap akan layan dan bawa dia pusing taman ini,” katanya yang sudah dikurniakan dua orang cucu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




