'Setengah jam selepas berlepas, anggota polis ketuk pintu rumah maklumkan helikopter yang mak naiki terhempas' – anak

'Setengah jam selepas berlepas, anggota polis ketuk pintu rumah maklumkan helikopter yang mak naiki terhempas' – anak

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: “Mak teruja hendak naik helikopter buat julung kali sepanjang bertugas sebagai anggota polis,” kata Mohamad Hariz Akmal Mohd Jais.

Mohamad Hariz, 21, adalah anak bongsu kepada Sarjan Siti Latipa Khairuddin, 54, yang terbabit nahas helikopter bersama empat kru helikopter jenis AS355N yang terhempas berhampiran Sungai Pulai, Gelang Patah, di sini, Khamis lalu.

Malah, katanya, sebelum berlepas, ibunya sempat ‘selfie’ dan mengirim gambar ke kumpulan aplikasi WhatsApp keluarga memaklumkan akan berlepas.

“Nampak mak teruja dan bercerita kepada kami yang dia akan menaiki helikopter sehari sebelum kejadian.

“Pada hari kejadian pula, mak keluar bertugas seperti biasa dan mengirim gambarnya dalam helikopter sebelum berlepas.

“Setengah jam kemudian, anggota polis ketuk pintu rumah di kediaman kami di kuaters Balai Polis Tanjung Kupang di Gelang Pahat memaklumkan yang helikopter yang mak naiki terhempas.

“Saya, abang dan ayah yang ketika itu berada di rumah terkejut. Jarak antara kuaters dengan lokasi kejadian hanya kira-kira 10 minit sahaja. Kami kemudiannya menunggu mak di Hospital Sultanah Aminah (HSA) seperti yang dimaklumkan,” katanya ditemui di perkarangan lobi HSA, di sini, hari ini.

Menurut Mohamad Hariz yang juga penuntut Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) Pasir Gudang, keadaan ibunya bertambah pulih dan stabil dan ketika ini, hanya minum air kosong dan susu sahaja.

“Alhamdulillah, keadaan mak semakin baik, dia boleh bercakap dan menjawab soalan. Bagaimanapun, doktor nasihatkan supaya mak hanya diberi minum air kosong dan susu buat sementara.

“Mak mengalami kecederaan patah di kedua buku lali, pinggul kiri retak, luka selain lebam,” katanya lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top