Setia catat peningkatan jualan RM1.186 bilion pada suku kedua

Setia catat peningkatan jualan RM1.186 bilion pada suku kedua

PETALING JAYA: SP Setia Bhd (Setia) melaporkan peningkatan  jualan sebanyak 34 peratus kepada RM1.186 bilion pada suku kedua tahun kewangan 2025, berbanding RM883 juta pada suku kedua 2024, dipacu oleh projek domestik.

Bagi suku sama, Setia merekodkan pendapatan sebanyak RM944 juta, disumbangkan oleh kebanyakan hasil pembangunan tempatan.

Sementara itu, bagi separuh pertama 2025, Setia mencatatkan hasil sebanyak RM1.71 bilion dan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM337 juta.

Kumpulan terus mengurangkan pinjamannya, dengan nisbah penggearan bersih semasa sebanyak 0.34 kali, sejajar dengan strategi pengurangan hutang kumpulan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Setia, Datuk Choong Kai Wai berkata, prestasi suku ini mencerminkan usaha gigih syarikat dalam menyampaikan produk berkualiti dan mempelbagaikan portfolio, tatkala berdepan pasaran yang cabaran.

“Pada 9 Julai 2025, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, pemotongan kadar pertamanya dalam tempoh lima tahun.

“Isyarat pengurangan kadar itu menjangkakan pertumbuhan dalam industri pembangunan hartanah, khususnya dalam segmen kediaman dengan meningkatkan kemampuan pembeli, mengurangkan kos pembiayaan pemaju dan berpotensi meningkatkan sentimen pasaran.

“Ini dalam keadaan ketidaktentuan global yang meningkat dan berpanjangan serta peningkatan kos pembinaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, di tengah-tengah pasaran semasa yang mencabar, pihaknya kekal optimistik dengan berhati-hati sementara mencari peluang untuk mengembangkan kehadiran syarikat merentasi segmen sasaran pertumbuhan tingginya.

Sementara itu, beliau berkata, kumpulan akan terus mempercepatkan pembangunan perbandaran pemangkin, taman eko-industri, perkongsian strategik dan memanfaatkan penciptaan nilai merentasi koridor pertumbuhan utamanya.

Jelasnya, di peringkat antarabangsa, Setia mengadakan majlis pecah tanah untuk projek Setia Garden Residences di perbandaran EcoXuan di Ho Chi Minh City, Vietnam pada 26 Julai lalu.

“Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak AS$81 juta (RM381.1 juta), Setia Garden Residences dijadualkan siap pada 2027 dan dijangka menjadi mercu tanda baharu di koridor utara Bandaraya Ho Chi Minh.

“Sehingga 30 Jun 2025, Setia mempunyai barisan jualan yang belum dibilkan sebanyak RM3.9 bilion, 42 projek yang sedang dijalankan dan dengan baki tanah seluas 2,100 hektar dan baki GDV sebanyak RM90.18 bilion,” jelasnya. – UTUSAN

Scroll to Top