najiy.jefri@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Lafaz ijab kabul benar-benar menyentuh hati kami berdua, dan kami bersyukur atas segala barakah yang Allah limpahkan pada hari ini.”
Demikian kata penyanyi kelahiran Singapura, Aisyah Aziz selepas sah bergelar isteri kepada jejaka pilihannya Dr Mohd Fakhrudin Amir Mohd Ismail dengan sekali lafaz pada jam 3.15 petang di Masjid Al-Abdul Razak, Singapura, hari ini.
Aisyah ketika dihubungi Harian Metro berkata, dia bersyukur dengan hari bahagianya terutama apabila dihadiri oleh keluarga dan sahabat terdekat.
“Majlisnya sederhana dan intim persis seperti yang kami impikan. Setiap detik terasa tulus, tenang dan sangat bermakna,” katanya.
Menurut Aisyah, dia berharap perjalanan baharu yang akan ditempuh akan disimpahi dengan rasa cinta sepanjang masa.
“Kami menantikan perjalanan baru ini untuk membina kehidupan bersama berlandaskan cinta, iman dan proses saling belajar sepanjang jalan,” katanya.
Terdahulu Harian Metro melaporkan lelaki yang berjaya menambat hati penyanyi lagu Pujaanku itu ialah abang kepada pendakwah selebriti Muhammad Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali PU Riz.
Pasangan itu bakal mengadakan malam resepsi malam ini di sebuah lokasi di Singapura membabitkan ahli keluarga dan kenalan terdekat.
© New Straits Times Press (M) Bhd