Pelakon popular, Nora Danish meluahkan rasa syukur apabila dapat menghabiskan bacaan al-Quran nya dalam tempoh 10 hari.
Selain menyifatkan ia hadiah istimewa sempena ulang tahun kelahirannya yang ke -43, Nora juga mengaku, ini adalah pencapaian paling berharga dan pengalaman luar biasa dalam hidupnya.
“Saya kira ini adalah pencapaian yang sangat berharga dalam hidup saya sekali gus menjadi hadiah ulang tahun kelahiran saya tahun ini.
“Ini adalah kali pertama saya menyertai tadarus, yang mana kami berjaya khatam dalam tempoh 10 hari. Setiap hari, kami membaca lebih daripada 50 muka surat Al-Quran.
“Kami memulakan bacaan pada hari pertama Ramadan bersama seorang ustaz hafiz dan kira-kira 30 orang sahabat lain.
“Ia benar-benar satu pengalaman yang luar biasa buat saya,” katanya kepada pemberita.
Mengulas lanjut, pelakon yang popular menerusi drama Puteri itu menganggap, faktor usia bukanlah penghalang untuknya berubah menjadi lebih baik.
Sebaliknya, sentiasa berusaha untuk menjadi versi terbaik termasuklah bab mendekatkan diri kepada Allah.
“Saya bersyukur kerana Allah membuka pintu hati saya sebelum saya meninggalkan dunia ini. Memang belum terlambat untuk kita berusaha menjadi insan yang lebih baik.
“Allah Maha Mendengar, Allah Maha Baik. Saya sendiri mengaku, dahulu saya jahil, tetapi saya berusaha untuk menjadi lebih baik. segera bertaubat kerana pengakhiran kita itu yang lebih penting,” jelasnya.
Terdahulu, Nora memaklumkan sepanjang Ramadan ini, dia mahu meluangkan masa bersama keluarga termasuklah mahu khatam bacaan al-Quran.
“Saya kurangkan aktiviti sebab hendak menyambut Ramadan lebih daripada Aidilfitri.
“Saya mahu khatam al-Quran, insya-Allah. Selain itu, saya akan luangkan masa bersama keluarga,” kongsinya.
Sumber: Harian Metro



