Kuala Lumpur: Pelakon komersial juga berpeluang menyerlah asalkan mempunyai disiplin dan minat dalam pementasan teater.
Demikian pandangan dilontarkan dua pelakon muda, Arfie Shah dan Aizat Saha yang kini terbabit dalam pementasan Persiapan Seorang Aktor, sekali gus menolak tanggapan teater sebagai ruang eksklusif.
Kata Arfie yang kali pertama terbabit dalam dunia teater, tanggapan hanya pelakon mempelajari bidang itu sahaja layak menguasai pentas terbabit seharusnya ditepis.
“Saya tidak setuju teater hanya untuk pelakon teater. Bagi saya yang masih baharu pun boleh cuba selagi matlamat utama adalah untuk belajar.
“Teater adalah platform terbaik untuk pelakon mengasah bakat dan belajar menjadi lebih berdisiplin,” kata Arfie yang berganding bersama pelakon hebat seperti Nam Ron dan Aloy Paradoks dalam teater Persiapan Seorang Aktor yang dipentaskan di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) pada Khamis hingga Ahad ini.
Tambah Arfie, keunikan teater terletak pada kejujuran lakonan kerana setiap persembahan dilakukan secara langsung tanpa peluang untuk potong dan sunting seperti dalam produksi drama atau filem.
Sementara itu, Aizat Saha pula berpandangan sesiapa sahaja yang bergelar pelakon, tidak kira latar belakang berhak mencuba dunia teater asalkan memiliki kesungguhan dan jiwa seni.
Mengulas mengenai cabaran yang dihadapi sepanjang menjayakan pementasan Persiapan Seorang Aktor, Aizat berkata dia perlu mendidik diri menjadi lebih berdisiplin dan bersedia bekerja dalam satu pasukan yang kuat.
“Jadual latihan teater sangat ketat. Kita juga perlu menjayakan watak dengan sepenuh rasa kerana ia dilakonkan secara langsung di hadapan penonton. Ia sangat mencabar dan mendidik,” katanya.
Persiapan Seorang Aktor mengisahkan pelakon lelaki yang obses untuk mencapai kesempurnaan dalam lakonan, bukan sahaja sebagai pelakon terbaik di Malaysia, malah, melangkaui kehebatan legenda seni pentas dunia.
Ia membawa penonton menelusuri perjuangan mental, emosi, dan spiritual dalam dunia seni yang penuh pengorbanan, tekanan serta cinta terhadap panggilan seni.
Tiket menyaksikan pementasan ini dijual dari RM58 hingga RM98 dan boleh didapati di laman web onetix.
© New Straits Times Press (M) Bhd



