Setiausaha Luar UK memancing tanpa lesen bersama Naib Presiden AS

Setiausaha Luar UK memancing tanpa lesen bersama Naib Presiden AS

London: Setiausaha Luar United Kingdom (UK) David Lammy terlepas daripada dikenakan denda selepas mengaku memancing tanpa lesen ketika bersama Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) JD Vance, lapor PA Media/dpa.

Lammy membawa Vance memancing di kediaman rasmi luar bandarnya di Chevening, Kent pada 8 Ogos lepas semasa beliau menerima kunjungan naib presiden itu pada permulaan percutiannya di UK.

Kemudian diketahui bahawa Lammy tidak memiliki lesen yang diperlukan untuk memancing, dengan jurucakap Pejabat Luar menyifatkannya sebagai “kesilapan pentadbiran” dan menyatakan menteri itu telah membeli lesen selepas kejadian berkenaan.

Beliau juga melaporkan perkara itu kepada Agensi Alam Sekitar.

Di England dan Wales, individu berusia 13 tahun ke atas wajib memiliki lesen memancing untuk menangkap spesies air tawar seperti ikan kap, dan boleh dikenakan denda sehingga £2,500 (AS$3,383) jika melanggar peraturan itu.

Pada Jumaat, seorang jurucakap Agensi Alam Sekitar mengesahkan Lammy tidak akan didakwa tetapi telah diberikan amaran rasmi.

“Setiap orang yang memancing memerlukan lesen untuk membantu meningkatkan kualiti sungai, tasik dan sukan yang digemari oleh pemancing,” kata jurucakap agensi itu.

Tindakan pertama agensi itu terhadap pelanggaran peraturan lazimnya adalah dengan mengeluarkan nasihat atau amaran, berbanding memulakan pendakwaan, terutamanya dalam kes yang melibatkan pemancing tidak berpengalaman yang tiada rekod memancing tanpa lesen.

Pada 2024/25, seramai 765 individu telah didakwa kerana melanggar peraturan memancing, manakala 1,965 menerima surat amaran dan 159 diberikan nasihat serta panduan.

Lammy tidak berjaya menangkap sebarang ikan semasa sesi memancingnya bersama Vance, manakala naib presiden AS itu berkata beliau dan anak-anaknya berjaya menangkap ikan yang kemudiannya dilepaskan semula ke dalam tasik.

Seorang jurucakap Pejabat Luar berkata keputusan Agensi Alam Sekitar telah menyelesaikan perkara itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top