Seville: Sevilla membelasah Barcelona 4-1, sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah juara bertahan itu dalam saingan LaLiga dan menafikan peluang mereka untuk kembali ke puncak carta liga.
Sevilla membuka jaringan pada minit ke-13 selepas Isaac Romero dijatuhkan ketika bersaing merebut bola dengan Ronald Araujo berhampiran kotak penalti Barcelona.
Alexis Sanchez dengan tenang menewaskan bekas rakan sepasukannya di Arsenal, Wojciech Szczesny, untuk menyempurnakan sepakan penalti itu.
Romero menggandakan kelebihan Sevilla pada minit ke-37, namun Marcus Rashford merapatkan jurang menerusi hantaran lambung Pedri untuk menjadikan kedudukan 2-1 sebelum rehat.
Barcelona berpeluang menyamakan kedudukan apabila Adnan Januzaj menjatuhkan Alejandro Balde, namun Robert Lewandowski gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-76 selepas bola rembatannya tersasar.
Kesilapan itu dihukum Sevilla apabila Jose Angel Carmona dan Akor Adams menambah dua gol lewat permainan, sekali gus memastikan kemenangan bergaya pasukan tuan rumah dan menyaksikan Barcelona ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Real Madrid.
© New Straits Times Press (M) Bhd




