Sewa kondominium mewah jalankan operasi judi dalam talian

Sewa kondominium mewah jalankan operasi judi dalam talian

safeek@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Tiga unit kondominium mewah di Jalan Tun Razak di sini, yang dijadikan pusat operasi perjudian dalam talian diserbu polis, petang tadi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata tiga unit kondominium itu disewa antara RM6,500 hingga RM10,000 sebulan oleh sindiket untuk menjalankan operasi dan menempatkan ahli mereka yang terdiri daripada rakyat tempatan dan warga China.

“Kami menerima maklumat daripada orang awam berhubung kegiatan sindiket ini dan siasatan awal mendapati mereka bukan sahaja menjalankan kegiatan perjudian dalam talian tetapi juga menawarkan pelaburan tidak wujud.

“Sasaran mangsa mereka adalah warga Singapura dan penduduk tempatan. Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti tempoh sindiket ini beroperasi,” katanya kepada media di lokasi serbuan di sini, hari ini.

Nasri berkata, dalam serbuan bermula kira-kira jam 5.30 petang itu, tujuh lelaki termasuk tiga warga China berusia 19 hingga 35 tahun ditahan bersama wang tunai kira-kira RM70,050 serta beberapa peralatan komputer.

Katanya, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 17 Peraturan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top