nurul.hidayah@hmetro.com.my
Subang Jaya: Meskipun mahal namun terdapat segelintir mangsa yang terjejas susulan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights di sini, minggu lalu memilih menghuni rumah sewa di kawasan berhampiran.
Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru, Nur Syahida Nabila Mohamad Johar, 36, berkata, keputusan itu dibuat bagi memudahkan mereka memantau keadaan rumah yang terjejas dalam kejadian sebelum ini.
“Saya sudah cari rumah sewa di sekitar Putra Heights bagi memudahkan memantau keadaan rumah (yang rosak) walaupun harga sewa agak mahal iaitu RM2,400 sebulan bagi rumah teres dua tingkat.
“Namun, saya masih tinggal di PPS (pusat pemindahan sementara) di Masjid Putra Heights memandangkan rumah yang mahu disewa masih sedang diselenggara oleh pemilik rumah,” katanya.
Nur Syahida berkata, adik-beradiknya yang turut terjejas dalam kejadian itu juga memilih mendapatkan rumah sewa di sekitar Putra Heights.
“Jika diikutkan dari segi kos, memang mahal menyewa di sini (Putra Heights) namun ia lebih berbaloi berbanding perlu ulang-alik dari lokasi jauh untuk meninjau keadaan semasa rumah.
“Sejujurnya, saya mahu masuk ke rumah sewa secepat mungkin memandangkan sudah lama kami tinggal di PPS. Meskipun kemudahan disediakan mencukupi namun pastinya lebih selesa tinggal di rumah sendiri,” katanya.
Menurutnya, masih ramai penduduk terjejas berada di PPS itu berikutan banjir melanda di kawasan berkenaan, kelmarin.
“Beberapa hari lalu, jumlah mangsa di PPS tidak begitu ramai, tetapi semalam (kelmarin) ada keluarga yang masuk semula (ke PPS) kerana rumah mereka dilanda banjir.
“Setakat ini, PPS beroperasi seperti biasa dan belum lagi ditutup,” katanya yang bekerja sebagai pengurus pemasaran.
Beliau yang turut serta dalam program gotong-royong di kawasan rumahnya semalam, memaklumkan tiada barang dapat diselamatkan di kediamannya.
“Rumah saya musnah sepenuhnya akibat kejadian itu dan tiada barang dapat diselamatkan. Meskipun sedih melihat keadaan rumah, namun saya reda.
“Di rumah ibu bapa saya terletak berhampiran, ada sebahagian barang dapat diselamatkan termasuk beberapa pakaian serta perabot,” katanya.
Tinjauan Harian Metro di sekitar Kampung Kuala Sungai Baru di sini, semalam, mendapati beberapa kenderaan termasuk bas yang membawa sukarelawan memasuki kawasan berkenaan untuk program gotong-royong sekitar jam 10 pagi semalam.
Antara kenderaan yang dilihat memasuki kawasan berkenaan membabitkan beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) selain pihak Alam Flora serta Air Selangor.
© New Straits Times Press (M) Bhd