SG4 mahu formula agihan pembangunan lebih adil

SG4 mahu formula agihan pembangunan lebih adil

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu memperkukuh kerjasama bagi memastikan agihan peruntukan pembangunan lebih telus, konsisten dan tidak dipengaruhi sentimen politik.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan setiap negeri mempunyai peluang yang adil untuk menikmati manfaat pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata, satu Formula Penyamaan Fiskal dan Pembangunan Antara Negeri dicadangkan bagi memastikan peruntukan pembangunan dilaksanakan secara lebih saksama.

Menurutnya, kejayaan ekonomi tidak seharusnya dinilai berdasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pelaburan dan eksport semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira kesannya terhadap kehidupan rakyat.

“Pertumbuhan KDNK, pelaburan dan eksport memang penting tetapi semuanya kurang bermakna jika keluarga masih terbeban dengan sewa rumah, harga makanan dan kos pengangkutan.

“Ukuran sebenar kejayaan bukan sekadar sejauh mana ekonomi berkembang, tetapi sejauh mana pertumbuhan itu memperbaiki kehidupan rakyat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan Forum Perniagaan dan Ekonomi SG4 di sini.

SG4 merupakan gabungan empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis yang berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi serantau menerusi kekuatan sektor ekonomi masing-masing.

Ahmad Samsuri berkata, Terengganu mempunyai asas kukuh dalam industri minyak, gas dan maritim, Kelantan dalam sektor pertanian serta industri halal, Kedah dalam industri semikonduktor, manakala Perlis berpotensi dalam perdagangan rentas sempadan dan tenaga boleh baharu.

SG4 merupakan gabungan empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis yang berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi serantau menerusi kekuatan sektor ekonomi masing-masing.

SG4 merupakan gabungan empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis yang berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi serantau menerusi kekuatan sektor ekonomi masing-masing.

Beliau turut menyatakan bahawa kira-kira 70 peratus sumber nadir bumi negara terletak di rantau berkenaan, sekali gus membuka peluang untuk membangunkan industri hiliran bernilai tinggi.

Katanya, matlamat SG4 bukan sekadar mengeksport bahan mentah, sebaliknya membangunkan rantaian industri yang mampu meningkatkan nilai ekonomi dan mewujudkan lebih banyak peluang kepada rakyat.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan penubuhan Hab Kewangan Islam SG4 bagi menghubungkan modal patuh Syariah dengan projek tenaga, infrastruktur serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Menurutnya, langkah itu berpotensi memperluas akses pembiayaan dan menyokong pelaksanaan projek pembangunan yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi di empat negeri berkenaan.

Ahmad Samsuri berkata, usaha membangunkan potensi SG4 perlu berpaksikan dua prinsip utama iaitu keadilan dan keupayaan.

Jelasnya, keadilan bermaksud setiap komuniti, wilayah dan generasi mempunyai peluang sebenar untuk menikmati kemajuan negara, manakala keupayaan memerlukan institusi kukuh, infrastruktur yang boleh diharap, tenaga kerja mahir, akses pembiayaan dan tadbir urus berkesan.

Beliau menegaskan, kerjasama yang lebih erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri menjadi asas penting untuk merealisasikan matlamat tersebut.

“Melalui kerjasama yang ikhlas dan praktikal, saya yakin SG4 mampu membantu membina Malaysia yang lebih adil dan lebih kuat, iaitu Malaysia yang meluaskan peluang, meningkatkan pendapatan isi rumah dan menjamin kemakmuran yang mampan untuk generasi akan datang,” katanya.

Scroll to Top