sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad berbasikal trek negara tidak berjaya mara ke pusingan kedua apabila wakil keirin dan pecut individu terkandas di pusingan awal Siri Piala Dunia Trek di Hong Kong, hari ini.
Bagi acara keirin, Muhammad Shah Firdaus dan Muhammad Ridwan Sahrom tidak berjaya mengatasi lawan masing-masing apabila tewas pada aksi repechage.
Ridwan Sahrom yang diletakkan dalam saringan keempat repechage tidak dapat menamatkan perlumbaan selepas terbabit dalam kemalangan dan itu menyaksikan pelumba Perancis, Tom Derache serta Nikita Kiriltsev dari Rusia melangkah ke pusingan kedua.
Bagi Shah Firdaus, dia yang baru kembali daripada kecederaan juga tidak mampu melangkah ke pusingan seterusnya apabila terkandas di saringan kelima repechage di tempat ketiga, di belakang Kevin Quintero dari Colombia dan pelumba Kanada, Nick Wammes.
Namun, ia tetap permulaan positif buat Shah Firdaus untuk mendapatkan keyakinan bagi perlumbaan akan datang.
Sementara itu, dua pelumba wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Nur Alyssa Mohd Farid juga gagal meneruskan perjuangan dalam acara pecut individu.
Pelumba Mexico, Yuli Verdugo mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menewaskan Izzah Izzati pada saringan kelapan menerusi perbezaan masa 0.081 saat (s).
Bagi Alyssa pula, dia terpaksa menerima kehebatan wakil Amerika Syarikat, Hayley Yoslov apabila tewas pada pusingan pertama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




