KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, berkemungkinan terpaksa melupakan aksi Siri Ketiga Piala Dunia yang berlangsung di Velodrom Nilai pada April depan.
Pengarah Teknikal skuad berbasikal trek kebangsaan, John Beasley, memaklumkan lutut pelumba berusia 30 tahun itu kini pulih sepenuhnya, namun masa menjadi faktor utama menghalangnya kembali bersaing pada tahap terbaik.
“Tulang rawannya sudah sembuh 100 peratus. Namun, dia masih mengalami atrofi otot dan struktur sekitar lutut, mungkin baru 85 peratus pulih.
“Dengan masa yang ada, dia mungkin tidak akan bersedia untuk siri Piala Dunia di Malaysia. Mungkin ya, mungkin tidak tetapi dia akan kembali bersedia untuk kejohanan lain tahun ini,” katanya.
Siri Piala Dunia kali ini bakal menyaksikan penyertaan kira-kira 700 atlet terbaik dunia daripada 48 negara.
Siri pertama dijadual berlangsung di Perth, Australia (6–8 Mac), sebelum ke Hong Kong (17–19 April) dan berakhir di Malaysia (24–26 April) di Velodrom Nilai, menutup tirai edisi kali ini.
Sebelum ini, Ketua jurulatih kebangsaan, Harnizam Basri memaklumkan pemulihan Shah Firdaus menunjukkan perkembangan positif selepas fasa pemulihan kecederaan apabila kembali menjalani latihan berat dan menggunakan gear lebih besar.
Menurut Hasnizam, ujian di gimnasium mendapati kepantasan Shah Firdaus meningkat 60 peratus berbanding bulan lalu dengan catatan 10.44 saat bagi 200 meter.
Dalam perkembangan lain, Shah Firdaus tidak akan berlumba di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) Filipina Mac ini kerana tempoh persiapan terlalu singkat untuk kembali ke intensiti perlumbaan tinggi.-UTUSAN



