Shah Firdaus Sahrom, pelumba basikal trek negara, meluahkan rasa malu apabila rakan sepelumbaannya dari Jepun, Shinji Nakano, diserang secara dalam talian oleh ‘tentera bawang’ Malaysia. Insiden ini berlaku selepas perlanggaran antara Shah Firdaus dan Nakano dalam perlumbaan final acara keirin di Sukan Olimpik Paris 2024.
Shinji Nakano, yang menjadi sasaran serangan netizen Malaysia, menghantar mesej kepada Shah Firdaus.
“Saya ingat orang Malaysia baik-baik belaka.” – Mesej Shinji Nakano kepada Shah.
Mesej ini mencerminkan rasa kecewa Nakano dengan tindakan segelintir netizen yang bertindak tanpa memahami situasi sebenar.
Menurut Shah Firdaus, insiden perlanggaran tersebut adalah perkara biasa dalam acara keirin.
Perkara itu memang berlaku (perlanggaran), ada ‘body contact’ dan itu biasa dalam keirin dan sebenarnya dia tak berniat nak ‘hentam’ saya, itu sebab ‘G-force.
Shah Firdaus turut menambah bahawa dia dan Nakano sebenarnya bersahabat baik. Mereka tidak menyimpan dendam walaupun berlaku perlanggaran.
Kami jumpa selepas perlumbaan… TikTok itu, biasalah orang buat cerita. Tapi saya dengan dia OK sahaja, saya dengan dia tak ada masalah. – Katanya lagi, merujuk kepada akaun TikTok palsu yang memohon maaf kepada Malaysia atas nama Nakano.
Shah Firdaus juga mengingatkan netizen supaya berhenti menyerang Nakano kerana tindakan tersebut turut menjejaskan dirinya.
Saya harap netizen berhenti sebab perkara itu menjejaskan kami juga… Yang buat saya terasa, dia ingat orang Malaysia baik-baik sebab saya baik dengan dia… Bila dia berasa begitu, saya rasa serba salah.
Walaupun insiden ini menjadi tular, Shah Firdaus menegaskan bahawa dalam keirin, ‘body contact’ adalah perkara biasa dan perlanggaran tersebut tidak disengajakan. Dia berharap netizen dapat memahami situasi sebenar dan menghentikan serangan terhadap rakan sepelumbaannya itu.




