Shaheizy Sam dedah, Syatilla suka & sokong babak tayang badan berketak

Shaheizy Sam dedah, Syatilla suka & sokong babak tayang badan berketak

Bagi yang sudah menonton sedutan pendek filem Polis Evo 3 yang bakal ditayangkan pada 25 Mei, pasti terbayang akan badan ‘berketak’ pelakon berbakat besar, Shaheizy Sam.

Lebih-lebih lagi babak dia sedang membasuh kereta bersama rakan gandingan, Zizan Razak sambil diintai oleh Zulin Aziz.

Pun begitu, pemilik nama Shaheizy Sam Abdul Samad  mendedahkan isterinya iaitu Syatilla Melvin yang juga seorang aktres tidak kisah terhadap babak tayang badan dalam filem Polis Evo 3.

Sam berkata, isterinya juga menyukai akan perubahan itu dan sentiasa memberi sokongan kepada dirinya.

“Syatilla okay sahaja, mungkin sebab dia pun jarang dapat lihat saya seperti itu.
“Jadi, dia beri sokongan dan nampaklah dia suka usaha saya nak capai sesuatu perkara,”jelas pemegang watak Inspektor Khairul.

Dalam pada itu, aktor berusia 41 tahun mendedahkan dia merupakan seorang pencinta makanan dan berat badannya mudah naik jika tidak mengawal pengambilan kalori harian.

Oleh itu, dia cuba mendisiplinkan diri untuk memiliki tubuh badan sasa seperti yang dilihat oleh penonton dalam tayangan trailer filem Polis Evo 3, baru-baru ini.

“Secara jujurnya saya susah nak dapat six pack sebab saya sangat menikmati makanan dan kalau tiada kerja memang saya gemuklah.
“Sewaktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) masa Februari dulu, saya okey lagi sebab baru lepas habis penggambaran. Tetapi bulan September saya dah berisi sangat.
“Tetapi, fasal kerjalah saya boleh turunkan berat badan kalau bukan sebab kerja, rasanya tidak,”ujarnya lagi.

Memang layaklah Sam dikenali sebagai seorang pelakon berbakat kerana dia sanggip melakukan apa-apa sahaja bagi membangkitkan sesuatu watak demi kepuasan penonton.

Untuk rekod, Shaheizy Sam telah mendirikan rumah tangga dengan Syatilla atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla binti Amirol Melvin pada 8 Februari 2016. Hasil perkongsian hidup selama 7 tahun mereka telah menerima 3 orang cahaya mata iaitu Syeriv Samheizy, 6, dan Sarima Samhiezy, 3 dan Salama Samhiezy, 1.

Sumber: mStar (Amin Hazlan)