Isteri kepada usahawan Datuk Seri Aliff Syukri iaitu Datin Seri Shahida memberitahu anak keempat mereka Yusoff Al Qardawi disahkan menghidap Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) serta masalah pembelajaran spesifik seperti disleksia.
Memetik BH Online, Shahida berkata anak keempatnya itu mula menunjukkan tingkah laku yang berbeza seawal berusia satu tahun.
BACA: “Jangan Cakap Wisma Saya Kawasan Tak Bertamadun” – Shahida Tegur Ahmad Idham
“Apabila melihat Yusoff, saya sudah dapat rasakan dia berbeza kerana sangat aktif. Pada usia satu hingga dua tahun, hampir setiap hari ada benjol di kepalanya.
“Malah ketika berusia lima tahun, dia pernah duduk di atas genting rumah seorang diri kerana katanya mahu menjadi ‘superhero’,” katanya.
Sementara itu, Shahida berkata dia membawa Yusoff bertemu pakar selepas melihat sikap berani anaknya itu yang tanpa rasa takut memanjat tempat tinggi dan anaknya turut mengikuti sesi terapi dua kali seminggu serta menunjukkan perkembangan positif.
“Selepas menjalani beberapa ujian, Yusoff disahkan menghidap ADHD. Kanak-kanak ADHD tidak suka ditekan. Jika ada yang terlalu ramah, dia tidak selesa lalu menolak dengan cara kasar.
“Perkara itu berlaku beberapa kali dan saya mengambil keputusan memindahkannya ke sekolah lain yang lebih dekat dengan rumah supaya mudah menghadiri sesi terapi,” katanya.
Menurut Shahida lagi, selain Yusoff, dua lagi anak mereka iaitu Qadejah El Zahra dan Ibraheem Adham sebelum ini turut disahkan menghidap disleksia.
“Qadejah dan Ibraheem pernah bersekolah di sekolah khas disleksia kira-kira enam bulan. Selepas keadaan mereka bertambah baik, barulah dipindahkan ke sekolah biasa.
“Apabila saya tanya suami, dia beritahu dulu hanya boleh membaca ketika berusia 12 tahun dan sering keliru antara kiri dan kanan.
“Bermula dengan Qadejah, saya mula belajar mengenai ADHD. Bila nampak Yusoff menunjukkan tanda sama, pada awalnya saya cuba menafikan, tetapi akhirnya terpaksa menerima kemungkinan ia diwarisi daripada bapanya,” katanya.
Sumber: BH Online




