Shahmalarani tamat kemarau 13 tahun, raih perak acara kumite Asia

Shahmalarani tamat kemarau 13 tahun, raih perak acara kumite Asia
Shahmalarani tamat kemarau 13 tahun, raih perak acara kumite Asia

Shahmalarani cipta sejarah raih pingat perak kumite wanita 50kg di Kejohanan Karate Asia 2025. Foto Instagram Shahmalarani

JAGUH karate negara, C Shahmalarani mencipta sejarah tersendiri apabila merangkul pingat perak dalam acara kumite wanita bawah 50 kilogram (kg) pada Kejohanan Karate Asia (AKF) 2025 yang berlangsung di Tashkent, Uzbekistan, pada Ahad.

Lebih manis, pencapaian itu menamatkan penantian 13 tahun negara untuk meraih pingat perak dalam disiplin kumite.

Namun, hasrat atlet berusia 26 tahun itu untuk menghadiahkan emas tidak kesampaian selepas tewas 1-7 kepada wakil tuan rumah Gulshan Alimardanova dalam aksi final yang berlangsung di Kompleks Sukan Yunusobod.

“Pingat ini sangat peribadi bagi saya. Ia lebih daripada sekadar kemenangan – ini adalah satu pencapaian besar. Orang kata jatuh tujuh kali, bangkit lapan kali! Saya ambil tujuh penampilan di AKF untuk akhiri kemarau 13 tahun dan kembalikan nama Malaysia ke pentas final AKF.

“Kejayaan ini menuntut pengorbanan besar – lima penyingkiran awal yang mendidik saya tentang kesabaran, ketabahan dan terus berusaha. Kini, saya akhirnya berada di tahap yang saya idamkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Shahmalarani berkata, kejayaan itu turut membakar semangatnya untuk terus melakar lebih banyak kejayaan demi mencipta legasi dalam sukan karate.

“Saya tidak akan berhenti di sini. Saya mahu terus mencipta kejayaan demi kejayaan kerana matlamat utama saya adalah meninggalkan legasi bermakna dalam sukan ini,” katanya.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia meraih pingat perak dalam acara kumite adalah menerusi R. Loganesha Rao dalam kategori lelaki bawah 55kg pada edisi 2012 di Tashkent, manakala pingat emas terakhir diraih Mohd Hatta Mahamut dalam kategori bawah 84kg pada edisi 2011 di Quanzhou, China. – Bernama

Scroll to Top