Shahrul Nizam azam jaga imej negara

Shahrul Nizam azam jaga imej negara

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Kapten Terengganu FC (TFC), Mohamad Shahrul Nizam Ros Hasni menyifatkan pertemuan dengan Songkhla FC bagaikan pertemuan dua negara.

Selain itu pertahanan tengah itu menegaskan pertemuan dengan kelab Thailand itu juga penting buat pasukannya sebelum berdepan Kuching City FC pada aksi suku akhir Piala FA, Sabtu depan.

Bagaimanapun pemain kelahiran Kelantan itu sedar pasukannya bakal berdepan dengan tentangan sengit pasukan lawan yang pastinya mahu melakar kemenangan di bumi mereka pada perlawanan malam ini di Stadium Tinsulanonda, Songkhla.

TFC satu-satunya pasukan dari Malaysia yang dijemput Pertubuhan Pentadbiran Wilayah Songkhla, Thailand dalam perlawanan amal antarabangasa empat penjuru yang turut disertai kelab utama Liga Thailand, Buriram United dan BG Pathum United.

“Atas kertas kami melihat kekuatan kedua-dua pasukan adalah seimbang biarpun beraksi di tempat lawan.

“Namun kami berazam untuk memberi tentangan sengit bermula awal permainan lagi walaupun ia perlawanan amal antarabangasa kerana kami bukan sahaja membawa nama kelab tapi juga nama Malaysia.

“Jadi ia perlawanan yang penting untuk buru kemenangan dan pada masa sama pertemuan ini juga penting bagi meningkatkan lagi motivasi kami sebelum menghadapi perlawanan suku akhir Piala FA nanti,” katanya.

Pada perlawanan itu, pengendali TFC, Badrul Afzan Razali dijangka bakal menurunkan penjaga gol, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin bagi menggantikan penjaga gol utama, Suhaimi Husin yang mewakili skuad kebangsaan.

Posisi pertahanan pula, ketiadaan dua tonggak, Azam Azmi Murad dan Ubaidullah Shamsul Fazili tidak merisaukan pengendali muda itu kerana TFC memiliki empat lagi pertahanan tempatan yang tidak kurang hebatnya iaitu Safwan Mazlan, Alif Zakaria, Hairiey Hakim dan Saiful Jamaluddin.

Manakala posisi tengah dan serangan dijangka bakal diketuai Nurillo Tukhtasinov dan Yann Mabella.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top