norhayati_nordin@hmetro.com.my
SELAIN drama, pembabitan Datuk Remy Ishak, 43, dalam filem sememangnya ditunggu-tunggu kebanyakan peminatnya kerana bakat lakonan yang bukan calang-calang.
Apatah lagi, filem genre aksi yang pasti membuat penonton kagum dengan ‘stunt’ dilakukan Remy sendiri, termasuk lakonannya dalam filem adiwira terbaru, Keluang Man.
Melakonkan karakter Shamsir, pemilik nama sebenar Mohammad Zalimei Ishak ini bagaimanapun terkejut apabila dia tiba-tiba didakwa cuba ‘over shadow’ (membayangi) pelakon Nas-T dalam lakonannya.
Mengulas dakwaan itu, bapa seorang anak lelaki ini menafikannya berikutan baginya ia sama sekali tidak berlaku kerana dia muncul dalam babak pun tidak banyak berbanding Nas-T sebagai Keluang Man.
“Saya tak perasan pun ada ‘over shadow’ watak utama (Nas-T) sebab saya pun muncul hanya beberapa kali. Jadi, tak mungkin saya dapat ‘over shadow’ watak utama pula.
“Masa ‘shooting’ pun sejujurnya saya baca skrip penuh dan akan tahu semua watak. Tapi, untuk filem Keluang Man ini, pengarah Anwari Ashraf ada banyak ‘shot’ dalam satu babak yang saya tak sangka.
“Sampai buat saya jadi pening nak baca semua benda (dalam skrip) dan saya buat keputusan baca untuk watak sendiri saja. Jadi, saya sangat berusaha cuba mewarnai watak saya itu.
“Bagaimanapun, saya tetap juga baca ‘overall’ (keseluruhan) skrip itu, namun untuk fokus lakonan memang saya beri tumpuan kepada watak Shamsir. Itu lebih memudahkan untuk saya buat yang terbaik,” katanya.
Mengulas juga babak ‘fighting’ dalam hujan dengan Borhan atau Keluang Man, Remy berkata, ia mengambil masa tiga hari penggambaran dan disifatkan cukup berbaloi dengan hasilnya.
“Babak itu (pertarungan) dibuat atas bumbung dan semua aksi ‘fighting’ itu dibuat saya sendiri sebab sebelum masuk set (penggambaran) pun, kami sudah berlatih lebih tiga bulan.
“Malah, Alhamdulillah tiada kecederaan dialami dan kami semua (pelakon) selamat. Cuma, dari segi pengarahan memang Anwari adalah seorang yang kreatif dan dia tahu apa dimahukan,” katanya.
Selain Remy dan Nas-T, barisan pelakon lain membintangi filem ‘superhero’ yang diangkat daripada animasi popular ini ialah Datuk Rosyam Nor, Shweta Sekhon, Anwaar Beg Moghal dan Yank Kassim.
Difahamkan idea terinspirasi sejak 2018 dan penggambaran filem Keluang Man dengan bajet RM13 juta ini mula dilakukan pada 4 Mei tahun lalu dengan pembabitan barisan pelakon hebat serta pasukan tenaga kerja mantap.
Filem ini ditayangkan di pawagam tanah air bermula 29 Mei ini, naskhah Keluang Man juga turut ditayangkan di negara jiran, Brunei Darussalam pada tarikh sama.
Tonton animasi, baca komik
Siri animasi Keluang Man yang pernah popular pada akhir era 1990-an ini mengisahkan Borhan iaitu pemuda dianggap pesakit mental, namun berubah menjadi superhero pada waktu malam.
Remy berkata, dia pernah menonton animasi itu di televisyen termasuk membaca komiknya yang menjadi perhatian ramai dengan seleksi cerita membanteras jenayah menghiburkan.
“Saya lahir pada 1982, jadi ketika animasi dan komik Keluang Man ini muncul pada era 1990-an, memang saya tengok (animasi) dan baca komik. Jadi, saya tahu mengenai animasi ini.
“Tapi, apabila ia difilemkan sekarang, jalan ceritanya sangat berbeza mengikut genre ‘moden pop’ yang seiring perkembangan kisah masa kini sebagaimana kehendak pengarah.
“Saya melihat perbezaan antara animasi dulu dan cerita daripada komik Keluang Man sangat jauh dan suntikan kelainan itu masih menghiburkan penonton,” katanya gembira dengan perkembangan filem Melayu tempatan.
Masih laris menerima tawaran berlakon filem, anak jati kelahiran Melaka ini memaklumkan dia kini sibuk menyiapkan filem aksi baru lakonannya berjudul Mikhail: Pemburu Dua Alam arahan Zahir Omar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




