Sharifah Aleya, Miko sah bercerai, selesai tempoh iddah

Sharifah Aleya, Miko sah bercerai, selesai tempoh iddah

H: Sharifah Aleya, Miko sah bercerai, selesai tempoh iddah

A’qilah Riduan

am@hmetro.com.my

Gambar (amik dari web BH)

Kuala Lumpur: Penyampai radio, Sharifah Aleya mengumumkan sudah bercerai dengan suami, Mohammad Azam Abdullah.

Menerusi perkongsian Instagram (IG), Aleya atau nama penuh, Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid Al-Yahya, 44, berkata pengumuman itu dibuat menandakan berakhirnya tempoh iddah bersama bekas suami yang juga dikenali sebagai Miko.

“Assalamualaikum. Video reel ini adalah kompilasi rakaman dan perkongsian sejak November 2025.

“Saya kongsikan hari ini kerana hari ini menandakan berakhirnya tempoh iddah saya. Saya kini secara rasmi telah bercerai. Alhamdulillah ‘alaa kulli haal,” tulisnya.

Bagaimanapun, Aleya tidak memperincikan tarikh sebenar perceraian mereka dalam perkongsian berkenaan.

Dalam pada itu, Aleya memaklumkan dirinya dan anak-anak berada dalam keadaan baik selepas melalui fasa perpisahan.

“Saya dan anak-anak berada dalam keadaan baik dan kami saling menyokong antara satu sama lain.

“Alhamdulillah, kami juga mempunyai sistem sokongan yang sangat baik. Terus melangkah ke hadapan, anak-anakku,” katanya.

Aleya turut menjelaskan perkongsian itu dibuat bagi mengelak sebarang fitnah pada masa hadapan selain memohon doa orang ramai buat dirinya dan anak-anak.

“Perkongsian ini sekadar untuk memaklumkan bagi mengelak fitnah dan supaya semua tahu bahawa kami baik-baik sahaja.

“Insya-Allah, saya akan pulih dan okay. Jika sudi, doakan saya dan anak-anak. Semoga Allah mempermudah dan mengampunkan,” katanya.

Menerusi video yang dimuat naik, Aleya dilihat menjalani kehidupan dalam suasana ceria bersama rakan-rakan terdekat.

Aleya dan Miko mendirikan rumah tangga pada Januari 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ali Abdullah, 11, dan Ahyan Abdullah, 9.

Pada Disember 2007, Aleya pernah berkahwin dengan Muhd Ashraf Aasimuddin dan berpisah pada Februari 2012.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan anak kembar, Aza Ameena dan Asha Ameena, kini berusia 17 tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top