am@hmetro.com.my
Ipoh: Personaliti agama, Ustazah Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah negeri Perak pada Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat Perak 1447H /2025M.
Sharifah Khasif, 43, memperoleh pengiktirafan yang disampaikan oleh SultanPerak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam majlis di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini malam ini.
Bekas juara Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2009 dan juga Qariah Terbaik Keseluruhan itu menerima wang tunai RM15,000, pakej menunaikan umrah bernilai RM9,000, plak, serta sijil
Sementara itu Anugerah Saidina Abu Bakar (Tokoh Ar-Ridzuan) diterima ibu kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek iaitu Allahyarhamah Datin Dr Siti Zalikhah Md Nor yang meninggal dunia pada 16 Jun 2024.
Fadhlina menaiki pentas mewakili ibunya menerima hadiah wang tunai RM15,000, pakej menunaikan umrah bernilai RM9,000, plak, serta sijil.
Anugerah Siti Khadijah (Tokoh Wanita) diterima oleh Robiah Kulop Hamzah, 74; Anugerah Saidina Ali (Tokoh Belia) diterima oleh Muhammad Firdaus Mohamad Suki; 27; dan Anugerah Ikon Asnaf diterima oleh Norzita Hamid, 44.
Turut menerima pengiktirafan adalah Anugerah Al-Quba’ (Pengurusan Masjid Terbaik) yang diterima oleh Masjid Nurussalam Batu 4, Jalan Kuala Rui, Gerik; manakala Anugerah Al-Baqi’ (Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Terbaik) diterima oleh Tanah Perkuburan Masjid Asy-Syakirin Sungai Setar, Parit Buntar.
Semua penerima itu menerima hadiah wang tunai RM5,000, plak, serta sijil.
Anugerah Khas serta wang tunai RM5,000, komputer riba, plak dan sijil diberikan kepada Rafaa Ahmad Muneer, 18, dari Alor Pongsu, Bagan Serai atas pelbagai pencapaian antaranya dalam pertandingan pidato serta hafizah Al-Quran dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kerian.
Selain Sultan Nazrin, berangkat sama ke majlis itu adalah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. Turut berangkat Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Hadir sama ke sambutan Maal Hijrah yang bertemakan ‘Hijrah dan Kelestarian: Menyatukan Ummah Memelihara Bumi’ itu adalah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
© New Straits Times Press (M) Bhd