norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Sharnaaz Ahmad berharap penganjur majlis anugerah di tanah air bersikap telus dalam menentukan pemenang berbanding melihat kepada pengaruh dan pengiktirafan dari luar negara.
Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 40, berkata dia tidak mengejar untuk menang anugerah apabila namanya dicalonkan dalam senarai Top 5.
“Saya tak kisah pun soal menang. Cuma, ada satu perkara yang saya harapkan daripada majlis anugerah ini, biarlah kemenangannya dinilai telus tanpa pengaruh luar.
“Umpama, janganlah bila nampak ‘orang itu’ pernah menang di majlis anugerah luar negara, maka kita pun rasa dia wajib menang di sini. Hormatilah pentas kita,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya mengenai filem Blood Brothers: Bara Naga yang mendapat 13 pencalonan Top 5 di Festival Filem Malaysia Ke-34 (FFM34) itu, Sharnaaz berkata, dia gembira dan amat bersyukur apabila karya terbabit dicalonkan.
“Alhamdulillah, ini hasil kerja keras semua pihak termasuk pengarah Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra serta seluruh barisan pelakon. Ini adalah penghargaan buat kami semua.
“Cuma, harapan saya agar dapat dipastikan rezeki kemenangan itu, kalau ada biarlah atas dasar kualiti sebab ini festival filem kita (FFM34) dan bukan negara lain,” katanya.
Terdahulu, Sharnaaz hadir bagi memberi sokongan padu untuk majlis pengumuman Top 5 FFM 34 di ibu kota, malam tadi.
Bagi pencalonan kategori Pelakon Lelaki Terbaik, Sharnaaz akan bersaing dengan Beto Kusyairy (Reversi), Qi Razali (Babah), Aeril Zafrel (Laknat) dan Tony Eusoff (Mencari Ramlee).
© New Straits Times Press (M) Bhd




