Sharon Paul Sahkan Dah Cerai Dengan Rusdi Ramli, Bebas Dari ‘Cold Violence’

Sharon Paul Sahkan Dah Cerai Dengan Rusdi Ramli, Bebas Dari ‘Cold Violence’

Komposer Sharon Paul mendedahkan sudah pun bercerai talak satu dengan pelakon Rushdi Ramli pada Januari tahun lalu selepas 17 tahun mendirikan rumah tangga.

Memetik mStar Online, Sharon berkata dia memfailkan permohonan cerai terhadap pelakon itu selepas tiada jalan penyelesaian antara kedua-dua belah pihak.

BACA: “Sharon Pernah Mengadu, Rusdi Dah Lama Tiada Job, Berkaitan Masalah Duit” – Norlia Ghani

“Saya sendiri yang uruskan proses perceraian itu dengan melantik peguam dan selesaikan semuanya. Kalau tunggu dia, memang tidak akan selesai apa-apa,” katanya.

Sementara itu, Sharon berkata dia kini gembira selepas melalui tempoh yang mencabar tahun lalu namun bersyukur dapat mengharungi dugaan berkenaan.

“Tahun lepas memang sangat mencabar. Saya terpaksa uruskan pinjaman hartanah yang bukan atas nama saya, bayar bil, tanggung dua anak dan pada masa sama jalankan perniagaan sendiri.

“Saya gembira dan rasa bebas sekarang. Ada satu istilah mengenai perkara yang saya terpaksa hadap selama ini iaitu ‘cold violence’” katanya.

Dalam pada itu, Sharon berkata kedua-dua anaknya memilih untuk tinggal bersamanya kerana rasa lebih selesa berbanding tinggal bersama bapa mereka.

Sharon dan Rusdi mendirikan rumah tangga pada tahun 2008 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Reo Ridza, 16, dan juga Ryan Ridza, 13.

Sumber: mStar Online


Scroll to Top