Menjelang usia kematangan 25 tahun, penyanyi dan pelakon muda berbakat, Shatirah Amanda, tampil dengan sebuah karya peribadi penuh makna berjudul’Kasih Tersayang’ .
Lagu ini bukan sahaja menyerlahkan sisi vokal lembut dan bertenaga Amanda, malah memperlihatkan evolusinya sebagai pengkarya apabila dia juga menulis sendiri lirik dan mencipta melodi lagu tersebut.
Berlatarkan genre pop moden, ‘Kasih Tersayang’ membawa mesej tentang makna kasih sayang yang luas dan inklusif bukan semata-mata cinta romantik, tetapi juga mencakupi kasih terhadap keluarga, sahabat, dan juga haiwan peliharaan.
Bagi Amanda, karya ini adalah cerminan jiwanya sebagai individu yang menghargai pelbagai bentuk kasih sejati.
“Lagu ini sangat peribadi bagi saya. Ia bukan tentang cinta pasangan semata-mata, tetapi tentang kasih dalam semua bentuk sesuatu yang saya rasa penting untuk diketengahkan dalam dunia hari ini,” ulasnya.
juga sekaligus menandakan debut rasmi Amanda sebagai penyanyi dan penulis lagu malah, ia juga memperlihatkan sisi kreatifnya yang semakin menyerlah.
“Ini lagu pertama saya cipta sepenuhnya. Ia memang sangat dekat dengan hati saya.
“Saya harap pendengar dapat merasai kejujuran dalam lagu ini,” katanya.
Meskipun pernah mencuri perhatian menerusi watak-watak dalam drama popular seperti Bunga Salju dan Bila Takdir Melarang Cinta, Amanda kini memilih untuk memberi tumpuan penuh kepada karier nyanyiannya.
“Berlakon memang sentiasa dekat di hati, tapi buat masa ini, saya nak fokus membina jenama sebagai penyanyi.
“Kalau ada watak yang sesuai dan tidak bertindih dengan jadual muzik, saya akan pertimbangkan,” jelasnya.
Amanda juga berazam untuk menghasilkan lebih banyak karya berkualiti dan kekal relevan dalam industri muzik tanah air.
“Saya yakin dengan perancangan SA International. Kami berkongsi visi yang sama iaitu untuk menghasilkan muzik yang bermutu dan membuka ruang lebih luas, termasuk ke pasaran luar,” tambahnya.
Menduduki kedudukan Top 5 Dewi Remaja 2020 dan heroin filem Marak, Shatirah Amanda membuktikan bahawa dia bukan sekadar memiliki raut wajah yang cantik, tetapi seorang anak seni yang berprinsip dan berani mengambil laluan berbeza.
“Saya berharap lagu ini membuka lebih banyak pintu, dan kalau diizinkan, saya ingin membawa muzik saya ke peringkat antarabangsa suatu hari nanti,” ujarnya.
‘Kasih Tersayang’ kini boleh didengarkan di semua platform penstriman utama seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, KKBox, Tidal, Deezer serta boleh dimuat turun melalui iTunes bermula 5 Mei 2025.