Sheikh Farouk letak jawatan sebagai CEO TFC

Sheikh Farouk letak jawatan sebagai CEO TFC

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Belum pun saingan Liga Malaysia (Liga M) melabuhkan tirainya pada musim ini, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai mengambil keputusan untuk meletakkan jawatannya bersama skuad itu.

Menerusi kenyataan media rasmi kelab itu pada hari ini, Sheikh Farouk yang memulakan tugasnya pada Julai tahun lalu mengambil keputusan berkenaan bagi meneruskan peluang baharu.

“Terengganu FC ingin memaklumkan Sheikh Farouk telah meletakkan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif kelab bagi meneruskan peluang baharu.

“Pihak pengurusan kelab merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas segala jasa, komitmen serta dedikasinya sepanjang tempoh perkhidmatan bersama kelab ini.

“Sepanjang tempoh tersebut, beliau telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh pengurusan serta menyumbang kepada pembangunan TFC secara keseluruhan sama ada di dalam mahu pun di luar padang.

“Segala usaha dan sumbangan beliau amat dihargai dan akan sentiasa dikenang oleh seluruh warga kelab serta para penyokong, pihak kelab mendoakan agar beliau terus mencapai kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi selepas ini,” demikian menurut kenyataan media rasmi kelab itu sebentar tadi.

Sementara itu Sheikh Farouk merakamkan penghargaan kepada seluruh warga TFC atas sokongan yang diberikan sepanjang perkhidmatannya lebih lapan bulan.

“Saya mendoakan kejayaan berterusan buat TFC, ‘loyalty never fades’, ujar Sheikh Farouk.

Terdahulu individu berkelulusan Sarjana Muda Sains (kepujian dalam kewangan), Arizona State University, USA dilantik memegang jawatan itu menerusi temu duga tertutup pada 8 Julai 2025.

Sebelum ini, beliau adalah Pengarah Urusan Malaysian Employers Federation dan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan AEON BiG, sebuah peruncit utama di Malaysia yang mempunyai 22 cawangan pasar raya utama.

Dalam aspek pelibatan dunia sukan, beliau dilantik sebagai pengerusi Impact Integrated iaitu sebuah agensi bawah naungan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memberikan fokus terhadap belia dan e-sports.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top