Sheikh Jassim tingkatkan nilai tawaran beli United

Sheikh Jassim tingkatkan nilai tawaran beli United

Sheikh Jassim dan Ratcliffe masih bersaing untuk membeli United.

PENGERUSI Qatar Islamic Bank, Sheikh Jassim bin Hamad Al Thani telah mengemukakan tawaran yang lebih baik untuk membeli Manchester United daripada keluarga Glazer.

Sheikh Jassim sedang bersaing dengan jutawan British, Jim Ratcliffe selepas mereka muncul sebagai pesaing utama untuk membeli pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Ratcliffe dilihat mendahului Sheikh Jassim untuk mendapatkan kelab itu apabila pusingan ketiga bidaan ditutup bulan lepas.

Pengasas syarikat kimia INEOS itu yang juga peminat United sejak zaman kanak-kanak dilaporkan meletakkan harga yang lebih tinggi ke atas kelab itu kerana dia mahu mendapatkan pegangan majoriti.

Bagaimanapun, bidaannya yang bakal membenarkan pengerusi bersama eksekutif Avram dan Joel Glazer kekal melabur dalam Red Devils merupakan satu langkah yang amat tidak disenangi penyokong.

Sebaliknya, tawaran Sheikh Jassim adalah untuk menguasai 100 peratus kelab dan berjanji untuk menghapuskan hutang United sebanyak £970 juta (RM5.465 bilion).

Keluarga Glazers yang gagal memenangi hati penyokong sejak mereka membebani kelab dengan hutang dalam pengambilalihan berleveraj £790 juta (RM4.451 bilion) pada 2005, akan mendapat untung besar selepas menawarkan peluang pelaburan pada November.

Bagaimanapun, mereka dilaporkan tetap mahu menjual kelab itu dengan harga rekod dunia £6 bilion (RM33.81 bilion) sebelum mereka bersetuju untuk menjual kepada mana-mana individu yang bersetuju dengan harga itu.