Sheikh Muhammad Taslim juara sulung BMX Freestyle

Sheikh Muhammad Taslim juara sulung BMX Freestyle

Taslim (tengah) bersama naib juara dan pemenang tempat ketiga acara BMX Freestyle lelaki Flatland Elite. – Foto PKBM

PELUMBA negara, Sheikh Muhammad Taslim Shaikh Mohd Raziff melakar sejarah apabila muncul juara sulung acara BMX Freestyle lelaki Flatland Elite pada Kejohanan Kebangsaan BMX Freestyle 2023 di Mont Kiara Skate Park, Kuala Lumpur pada Ahad.

Pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2019 di Filipina itu, menepati ramalan untuk mudah menewaskan pesaing terdekat, Hafiz Abd Wahab dengan kelebihan 20 mata untuk merangkul emas bagi acara yang dipertandingkan buat kali pertama.

Pelumba kelahiran Selangor, yang juga dikenali sebagai Botak, memperagakan persembahan yang sangat memukau untuk meraih 262 mata, mengatasi Hafiz (242 mata) dan Mohd Redza Rahman (231.5 mata) yang masing-masing meraih perak dan gangsa.

Sheikh Muhammad Taslim, 33, mengakui sangat teruja dan terharu kerana akhirnya berjaya menyarung jersi kebangsaan, selepas hanya mampu melihat pelumba lain merebut jersi kebangsaan bagi disiplin trek, lebuhraya, BMX dan basikal bukit (MTB).

“Komuniti BMX Freestyle sudah lama menunggu detik ini, justeru apabila PKBM (Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia) umum mahu adakan kejohanan kebangsaan, kami berasa sangat gembira.

“Saya sudah lama mimpikan jersi kebangsaan milik saya sendiri dan akhirnya impian saya untuk memakai jersi kebangsaan acara Flatland Elite tercapai juga akhirnya. Tak tahu macam mana nak jelaskan perasaan ini,” katanya menerusi kenyataan PKBM pada Isnin.

Sementara itu, Muhammad Syafiq Norazlan muncul juara acara lelaki Park Elite dengan mengumpul 85 mata untuk menewaskan Zafrin Sabikin dengan kelebihan tujuh mata.

Muhammad Saiful Ariff Bahaudin pula, terpaksa berpuas hati dengan gangsa apabila dipisahkan dengan kelebihan hanya dua mata berbanding Zafrin.

Kategori Flatland Wanita elit menyaksikan Nur Airen Sofea Mohd Nor Aszeril muncul juara kebangsaan apabila meraih 240 mata, jauh meninggalkan pesaing terdekat, Nia Nur Aldryana Mohd Nor Aszeril dengan kelebihan 24 mata.

Seorang lagi pelumba, Nur Aidelia Raisha Mohd Nor Aszeril menduduki tempat ketiga dengan kutipan 189 mata. – Bernama