Shelly sasar akhiri karier dengan gemilang di Kejohanan Dunia

Shelly sasar akhiri karier dengan gemilang di Kejohanan Dunia

Brussels: Shelly-Ann Fraser-Pryce tetap bersemangat biarpun sekadar menamatkan saingan di tempat keempat acara 100 meter saingan Liga Berlian sambil menegaskan dia mahu menutup karier gemilangnya dengan cara ‘cukup hebat’ di Kejohanan Dunia Tokyo.

Legenda pecut Jamaica berusia 38 tahun itu mencatat masa 11.17 saat (s), awal pagi tadi, di belakang tiga pemenang podium iaitu Melissa Jefferson-Wooden dari Amerika Syarikat (AS); juara dunia, Sha’Carri Richardson dan pelari Britain, Daryll Neita.

Shelly yang juga wanita ketiga terpantas sepanjang zaman dalam acara 100m dengan catatan 10.60s, bergelut musim ini, namun tetap optimis menjelang kejohanan dunia pada 13 sehingga 21 September di ibu negara Jepun.

Dia bakal menggantung kasut pecut selepas Tokyo, menutup karier luar biasa selama 17 tahun sebagai antara kuasa dominan pecut wanita dunia.

“Saya sudah layak ke pasukan kejohanan dunia, jadi saya menantikannya, itulah matlamat saya,” kata pelari yang merangkul tiga pingat emas Olimpik dan 10 gelaran dunia, dengan koleksi keseluruhan 25 pingat Olimpik serta dunia.

Katanya, kejayaannya adalah hasil ‘keyakinan terhadap kemampuan diri, kerja keras, dan percaya bahawa dia tahu apa yang terbaik untuk diri serta tahu bila masanya untuk berundur dan kini masih belum tiba masanya.

“Saya menantikan untuk mengakhiri karier dengan cara yang hebat. Saya pasti ia akan menjadi kenyataan di Tokyo,” katanya.

Shelly membuat penampilan sulung peringkat senior pada Kejohanan Dunia 2007 di Osaka, Jepun – pengalaman yang diakuinya mengubah hidup.

“Saya ketika itu tidak pasti siapa diri saya. Saya tidak mahu berlari, hanya mahu menikmati momen itu, kemudian saya dipilih dalam pasukan 4x100m sebagai pelari terakhir.

“Ia benar-benar mengubah cara saya berfikir. Saya pulang ke tanah air, bekerja keras, dan selepas itu segalanya berubah dalam sejarah karier saya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top