Sheqal akan dikebumikan di Raub atas permintaan ibu

Sheqal akan dikebumikan di Raub atas permintaan ibu

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jenazah penyanyi, Sheqal akan dikebumikan di kampung halamannya di Raub, Pahang, hari ini.

Perkara ini dimaklumkan isterinya, Normah Mohd Yusoff, 58, menerusi mesej suara aplikasi WhatsApp kepada Timbalan Pengerusi Music Malaysia, Ayob Abdul Majid.

“Jenazah akan dimandi, disolat dan dikapankan di Masjid Taman Tuanku Jaafar, Seremban dan kemudian akan dibawa ke kampung halaman arwah di Raub.

“Itu permintaan emaknya. Emak pun tak sihat. Doakan agar semuanya dipermudahkan,” katanya.

Terdahulu, Allahyarham Sheqal atau nama sebenarnya Shaharim Salehuddin dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban pada 4 Jun lalu akibat kesukaran bernafas.

Pasukan perubatan mendapati bacaan oksigen Sheqal menurun.

Sebaik tiba di HTJ, Sheqal dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), kemudian diberikan oksigen

yang besar, namun pernafasannya masih juga tidak stabil.

Doktor memutuskan untuk menidurkannya dan mendapati paru-paru Sheqal ada air dan ada jangkitan kuman pada paru-paru. Doktor juga sudah mengeluarkan air dari paru-parunya.

Selepas bertarung nyawa selama dua minggu, penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Nusantara dan Kasih Tak Terhurai ini menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.31 tengahari, hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top