Sherman tolong orang kampung

Sherman tolong orang kampung

syafiq.aznan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Sekalipun berada beribu batu jauhnya dari Liberia, penyerang import Kedah Darul Aman (KDA), Kpah Sherman terus menabur bakti untuk masyarakat di tempat kelahirannya, Monrovia.

Menerusi perkongsian daripada wartawan sukan Liberia, T Kla Wesley Junior, penyerang berusia 29 tahun itu memberikan sumbangan dalam bentuk keperluan asas kepada komuniti Muslim di Monrovia, Liberia.

“Sherman menyumbangkan 1,000 kilogram (kg) beras dan 35 gelen minyak masak kepada komuniti Muslim di Monrovia.

“Sherman beraksi bersama KDA dan kini menjadi penjaring terbanyak pasukan dengan sembilan gol daripada 12 perlawanan,” kata Wesley menerusi akaun Twitternya.

Dalam kemasan sama, Wesley turut memuatnaik tiga keping gambar yang memaparkan sumbangan terbabit sudah diagihkan oleh individu dipercayai wakil Sherman yang memakai jersi KDA kepada komuniti Muslim di sana.

Sebagai rekod, ini bukan kali pertama bekas penyerang PKNS FC itu menyampaikan sumbangan untuk masyarakat di kampung halamannya.

Pada tahun lalu, Sherman menyalurkan bantuan untuk mereka yang terjejas dengan penularan isu COVID-19 yang menyaksikan dia menyumbangkan keperluan asas, kit kebersihan dan juga wang tunai.

Wesley yang turut berkongsi berita itu melaporkan Sherman menyumbangkan 625 kilogram beras, enam karton bahan pencuci dan 50,000 dollar Liberia (RM1,200).

Sumbangan terbabit disampaikan oleh ibu Sherman sendiri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top