mohamadridzuan@hmetro.com.my
Shah Alam: Pengacara dan pelakon, Sherry Alhadad, 41, mendedahkan perasaan terkilan apabila hubungan baiknya dengan pelakon Nad Zainal kini sudah terputus.
Ia berikutan satu peristiwa yang berlaku ketika Nad Zainal sakit dan dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Ampang pada 2022.
“Rasa terkilan lah sebab kita kawan baik. Cuma pada saya dalam perhubungan persahabatan ia tak boleh paksa. Kita dah makin dewasa.
“Sedangkan masa sekolah dulu pun, kita fikir kawan baik kita akan ada dengan kita sampai bila-bila tapi ia akan berubah bila kita dah dewasa.
“Kita jumpa orang baru, kita dah berkahwin dan kita ada komitmen. Itu antara perjalanan hidup yang kita lalui,” katanya ditemui di Bazar Ramadan Dapur Goodday: Misi Sarimah & Tuyah VS Che Ton di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, di sini, semalam.
Dapur Goodday: Misi Sarimah & Tuyah VS Che Ton, adalah sebuah program realiti drama masakan pertama di Malaysia dengan konsep ‘tengok hari ini dan esok boleh beli!’
Sherry atau nama sebenarnya, Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad berkata, apapun berlaku, dia sesekali tidak pernah bermusuh dengan Nad.
“Saya okey saja dengan dia. Tak tahulah dia okey tak dengan saya sebab saya dah lama tak jumpa dia. Kami tak pernah bertemu, tak pernah ada program sekali untuk jumpa. Jadi saya tak tahu.
“Pada pihak saya, okey sahaja. Tak tahulah dia macam mana. Jika nak digandingkan untuk apa-apa program, saya tiada masalah. Orang memang kenal saya.
“Saya memang tak pernah ada masalah dengan orang lain sebab saya jenis orang yang sangat” ‘friendly’, sangat publik dan saya peramah,” katanya.
Menurutnya, untuk bertanya orang sama ada dia mempunyai musuh atau tidak, itu adalah perkara yang paling susah sekali mereka hendak menjawab.
“Jadi kalau ditakdirkan saya berlakon dengan dia, saya okey saja tak ada masalah. Cuma tak tahulah di pihak sana. Dia nak atau tidak.
“Kalau dah tak berkawan macam dulu, tak apalah. Itu adalah hidup dia sekarang. Saya pun ada hidup saya dan dia ada hidup dia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




