Shi Feng kekal Raja Malaysia Masters

Shi Feng kekal Raja Malaysia Masters
Shi Feng kekal Raja Malaysia Masters

Shi Feng (kanan) muncul juara Malaysia Masters 2026 selepas menewaskan Teeraratsakul dalam perlawanan akhir di Unifi Arena Bukit Jalil hari ini. Foto: Bernama

 

PEMAIN perseorangan lelaki China, Li Shi Feng mempertahankan kejuaraan Kejohanan Malaysia Masters 2026 selepas menewaskan Panitchaphon Teeraratsakul dari Thailand pada aksi final hari ini.

 

Pada perlawanan berlangsung di Arena Unifi, Bukit Jalil hari ini, pilihan kelima kejohanan itu menepati ramalan selepas menundukkan lawannya 21-16, 21-17 dalam tempoh 50 minit.

 

Kejayaan itu menyaksikan Li Shi Feng muncul pemain perseorangan lelaki kedua selepas legenda badminton negara Datuk Seri Lee Chong Wei yang berjaya mempertahankan gelaran berkenaan pada 2009 hingga 2012 semasa kejohanan itu berstatus Grand Prix Emas.

 

“Ia motivasi besar untuk saya menghadapi kejohanan akan datang kerana sudah agak lama saya tidak memenangi sebarang gelaran. Saya juga berdepan kecederaan dan beberapa masalah fizikal.

 

“Jadi, saya rasa kemenangan ini adalah satu cara untuk membuktikan kemampuan diri sekali lagi,” katanya selepas perlawanan.

 

Sementara itu, nasib berbeza bagi rakan senegaranya Chen Yufei yang tewas kepada perseorangan wanita Thailand, Ratchanok Intanon 17-21, 15-21 yang tempoh 51 minit pertarungan.

 

Ratchanok yang merupakan pemain ketujuh dunia menzahirkan rasa gembira berjaya merangkul gelaran Malaysia Masters buat kali ketiga sambil menyifatkan keputusannya menyertai kejohanan berkenaan sebagai langkah tepat.

 

Gandingan China, Chen Fan Shu Tian-Luo Xu Min menewaskan pasangan Sayaka Hirota-Ayako Sakuramoto dari Jepun 21-16, 25-23 untuk muncul juara beregu wanita.

 

China meneruskan dominasi apabila turut muncul juara beregu campuran menerusi Gao Jia Xuan-Wei Ya Xin yang menewaskan wakil Thailand Pakkapon Teeraratsakul-Sapsiree Taerattanachai 21-13, 15-21, 21-11 dalam pertarungan selama 58 minit. – Bernama

 

Scroll to Top