bhhip@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Ramai memuji kelunakan suara penyanyi, Shiha Zikir mendendangkan lagu 7 Nasihat pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-35, baru-baru ini.
Tidak kurang juga peminat membuat permintaan supaya penyanyi kecil molek itu tampil dengan single baharu dengan genre yang sama.
Atas sokongan peminat memberi idea, syarikat rakaman, Todak Music akan menghasilkan single bergenre sama demi memenuhi permintaan peminat.
Pengurus A&R Todak Music, Kamarul Arifin Baharun berkata, perancangan menghasilkan single berentak fusion antara salah satu projek sasaran, tahun ini.
“Kami menerima maklum balas positif peminat yang meminta Shiha menghasilkan lagu berkonsepkan 7 Nasihat selepas kemunculannya di pentas AJL35 bersama Kmy Kmo dan Luca Sickta.
“Todak Music bercadang mengeluarkan satu single yang membawakan konsep sama, tetapi masih mengekalkan elemen tradisional yang difusionkan untuk pasaran tempatan serta luar negara.
“Kami cuba menghasilkan lebih banyak produk berkualiti dalam usaha membina empayar perniagaan di luar negara. Salah satu menerusi video muzik AEWO nyanyian Shiha yang turut menampilkan Noki K-Clique. Kami berjaya membuktikan menghasilkan video muzik berkualiti setaraf antarabangsa,” katanya kepada BH Online.
Tambahnya lagi, pihaknya sudah merangka pelbagai projek untuk mengembangkan nama Shiha selepas kejayaannya membina nama menerusi program realiti, D’Academy Asia pada 2015,
Bagaimanapun, katanya, perancangan banyak tertunda berikutan pandemik COVID-19.
Bagi Shiha, dia tidak sabar menanti projek terbaharu yang disusun syarikat rakamannya itu.
Bagaimanapun, katanya, dia yakin pelbagai projek menarik akan dihasilkan.
“Saya menaruh sepenuh kepercayaan dalam apa juga perancangan disusun oleh Todak Music. Saya sendiri tidak tahu apakah projek yang sedang dirancang.
“Saya berharap, Todak Music dapat menghasilkan lebih banyak produk yang berkualiti.
“Ada masanya, saya sendiri keliru apa yang peminat mahukan, jadi saya berharap kolaborasi Todak Music bersama Warner Music dapat memberikan idea dan menjalinkan lebih banyak kolaborasi bersama artis, seterusnya memberikan impak kepada industri muzik.
“Saya bersyukur berpeluang menjalinkan usaha sama bersama syarikat rakaman antarabangsa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




