Selepas lebih dua dekad menapak dalam industri seni, penyanyi terkenal, Shila Amzah akhirnya bakal merealisasikan satu lagi impian besar dalam kariernya dengan mengadakan konsert solo ‘SA25’ di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), 9 Mei depan.
Menurut Shila atau nama lengkapnya, Nurshahila Amir Amzah, 36, peluang menyerlahkan bakatnya di pentas berprestij itu bukan sekadar konsert biasa, sebaliknya simbol perjalanan 25 tahun yang penuh liku.
“Bila dapat tahu DFP bagi peluang, saya memang sangat teruja. Ini impian setiap penyanyi, Akustiknya lain, auranya lain. Secara peribadi, ini antara pencapaian terbesar saya,” katanya.
Mengulas lebih lanjut, Shila berkata dia pernah menerima tawaran untuk beraksi di DFP sebelum ini, namun terpaksa menolak kerana komitmen kerja di luar negara.
“Sebelum ini masa tak sesuai sebab saya tak berada di Malaysia. Bila tawaran datang semula pada tahun lalu, saya terus cakap dengan pengurus ini masa yang tepat,” katanya.
Bersempena ulang tahun ke-25 dalam industri, konsert ‘SA25’ dijangka menampilkan lebih 25 lagu termasuk medley khas bagi memenuhi permintaan peminat sejak awal pembabitannya.
“Bukan sekadar 25 lagu. Mungkin lebih. Ada yang kita buat medley sebab peminat lama masih minta lagu daripada album 2000 dan 2004. Saya cuba muatkan keseluruhan perjalanan Shila Amzah dalam satu malam,” katanya

Sebagai penyanyi yang aktif di Malaysia dan China, Shila berkata dia tidak akan mengetepikan lagu Mandarin yang menjadi sebahagian identitinya.
“Di China, konsert saya 95 peratus lagu Mandarin. Tapi di DFP nanti bukan 100 peratus Melayu. Saya rasa dalam 50-50,” katanya.
Konsert berkenaan turut menampilkan artis jemputan istimewa, namun Shila masih merahsiakan identiti mereka.
“Artis jemputan memang ada. Ia sangat natural sebab kami ada lagu duet. Saya dah bagi klu, jadi tak susah nak teka,” katanya.
Dengan gabungan pengalaman dua negara, identiti dua bahasa dan perjalanan seni yang penuh warna, ‘SA25’ dijangka menjadi malam paling bermakna buat Shila dan peminatnya bukan sekadar konsert, tetapi kisah hidup yang dipentaskan.
Harga tiket konsert Resonance: Shila Amzah in Harmony 25 Years of Music & Memories serendah RM199 sehingga RM649.
Manakala peminat yang mahu pengalaman lebih dekat bersama Shila pula boleh mendapatkan akses sesi Meet & Greet dengan tambahan Rm150, namun ia terhad kepada 60 pemegang tiket sahaja.
Photo credit: Dewan Filharmonik PETRONAS




