Penyanyi terkenal, Shila Amzah kembali mewarnai industri muzik dengan pelancaran single terbaharunya berjudul Pernah Punya Aku, sebuah karya yang ditulis dan digubah sepenuhnya oleh Shila sendiri.
Single ini bukan sahaja menandakan kemunculan semula Shila selepas berehat panjang daripada dunia seni, tetapi juga mencerminkan fasa kematangannya setelah lebih 25 tahun bergelar anak seni.
Menurut Shila, lagu tersebut dicipta dalam tempoh dua hari ketika dia masih berada dalam fasa berpantang.
Malah, single terbaharunya ini hasil luahan jujur yang tercetus daripada ketidakstabilan emosi pada ketika itu.
“Ketika itu saya sangat emosi. Suami saya cadangkan agar saya luahkan semuanya melalui lagu. Maka lahirlah Pernah Punya Aku. Lagu ini bukan sekadar luahan, tapi juga proses penyembuhan,” katanya.
Proses Rakaman Cepat dan Penuh Sokongan
Mengulas lanjut, lagu yang dicipta oleh pengarah muzik popular, Genervie Kam ini hanya menjalani proses rakaman selama 40 minit untuk disiapkan.
“Saya sangat selesa bekerjasama dengan Genervie. Dia memahami saya sebagai seorang wanita dan seorang artis. Sokongan dia sangat besar sepanjang rakaman ini,” jelasnya.
Walaupun ‘Pernah Punya Aku’ membawa tema kekecewaan dan pengkhianatan dalam hubungan, Shila tetap menyuntik unsur harapan dalam mesej lagunya.
“Saya mahu pendengar tahu, di sebalik setiap kepedihan, pasti ada jalan keluar. Lagu ini adalah suara kepada wanita yang pernah disakiti, namun tetap bangkit. Anda tidak keseorangan,” tambahnya.
Lagu ini juga diperdengarkan terlebih dahulu kepada ibu Shila sebelum dilancarkan, kerana menurutnya, ibunya lebih dekat dengan emosi yang ingin disampaikan.
“Lagu ini saya tujukan kepada wanita yang dicurangi dan ditinggalkan. Ibu saya sangat tersentuh dan katanya lagu ini benar-benar menggambarkan rasa itu,” ujarnya.
Permulaan Baharu Menuju Album Penuh
‘Pernah Punya Aku’ merupakan single pembuka kepada album penuh terbaharu Shila yang dijangka dilancarkan hujung tahun ini.
Album tersebut bakal menjadi wadah buat Shila meluahkan kisah peribadi yang terpendam dan melangkah ke fasa baharu dalam kehidupan sebagai seorang ibu dan anak seni.