am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi Shila Amzah, 34, mengakui ada mengeluarkan kenyataan sekadar menyokong luahan anak kepada seorang penyanyi legenda sebagai rakan dalam industri seni.
Shila atau nama sebenarnya, Nurshahila Amir Hamzah berkata, dia sekadar memberi sokongan kepada rakan industri dan tidak ada menyebut nama sesiapapun.
“Liku-liku kehidupan yang kami berdua lalui dalam keluarga lebih kurang sama.
“Bila saya setuju dengan kenyataannya itu lebih kepada mak tiri saya. Jadi bila nak kata saya cuba mengacau keluarga orang lain perkara itu sama sekali tidak benar dan tidak berasas,” katanya dalam satu temubual yang disiarkan Melodi hari ini.
Sebelum ni, Shila pernah memuatnaik status dalam aplikasi X menyokong kenyataan anak penyanyi legenda terbabit yang menggelar seorang individu dengan panggilan ‘perempuan itu’.
Menurut Shila dalam status berkenaan, dia dapat merasai apa yang diluahkannya.
Terdahulu, Shila membuat laporan polis selepas mendakwa dirinya ‘diserang’ oleh seorang penyanyi legenda sewaktu sesi latihan Konsert Ulang Tahun ke-20 MR D.I.Y di Stadium Merdeka, Khamis lalu.
Hasil siasatan, polis mendedahkan rasa tidak puas hati kerana mencampuri masalah keluarga dipercayai menjadi punca Shila diserang penyanyi legenda lelaki ketika sesi latihan konsert baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, punca kejadian itu adalah rasa tidak puas hati suspek terhadap pengadu yang mencampuri masalah keluarganya.
© New Straits Times Press (M) Bhd