Showcase Satu Daerah Satu Industri Wilayah Timur & My Pride Fair Zon Timur 2025

Showcase Satu Daerah Satu Industri Wilayah Timur & My Pride Fair Zon Timur 2025

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) meneruskan usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan tempatan menerusi penganjuran Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Wilayah Timur yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula 28 hingga 30 Ogos ini di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Kuala Terengganu.

Program yang bertemakan keusahawanan inklusif ini menyediakan lebih 60 reruai pameran dan jualan, melibatkan penyertaan usahawan dari negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu. Antara produk yang dipamerkan termasuk makanan dan minuman tradisional, kraftangan, produk kesihatan serta perkhidmatan inap desa.

Buat julung kalinya, KUSKOP turut bekerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia menerusi My Pride Fair Zon Timur, yang menampilkan hasil produk vokasional dan industri yang diusahakan oleh penghuni institusi penjara di Pantai Timur. Program ini memberi peluang kepada penghuni penjara mempamerkan kemahiran mereka dalam bidang seperti pertukangan kayu, tekstil, pastri dan hasil tanaman.

Dato Sri Khairul Dzaimee Daud, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) hadir menyempurnakan perasmian Showcase Satu Daerah Satu Industri Wilayah Timur dan My PRIDE Fair Zon Timur pada 28 Ogos ini bertempat di Pusat Dagangan Terengganu, Kuala Terengganu

Antara institusi yang terlibat ialah Penjara Marang, Pusat Koreksional Dungun, Penjara Pengkalan Chepa, Penjara Penor, Penjara Bentong, Pusat Pemulihan Akhlak Machang, Pusat Reintegrasi Penghuni Kuala Krai dan Galeri Tenun Bandar Kuantan. Semua hasil jualan akan disalurkan ke Akaun Amanah Kerajaan dan sebahagiannya dimanfaatkan untuk proses pemulihan serta pembinaan semula jati diri penghuni.

Menurut kenyataan KUSKOP, penganjuran ini juga bertujuan memperkukuh jaringan kerjasama antara usahawan tempatan dengan syarikat anchor dan pemborong besar menerusi sesi padanan perniagaan. Antara syarikat yang terlibat termasuk MYDIN, MYGALORE, MESRA Retail & Café, Halal Mart, SH Synergy Pemborong dan SABASUN.

AKTIVITI-AKTIVITI MENARIK 

Dalam usaha memperluas akses pembiayaan, ruangan Biaya Usahawan akan menghimpunkan 10 agensi pembiaya dan 4 syarikat anchor bagi membantu usahawan mendapatkan maklumat berkaitan geran, pinjaman serta skim pembiayaan. KUSKOP menyasarkan nilai potensi perniagaan sekitar RM3 juta menerusi program padanan perniagaan dan pembiayaan sepanjang program berlangsung.

Satu lagi tarikan utama ialah Aneka Rasa Timur dan Hiliran Market, yang menawarkan pengalaman kulinari autentik berasaskan juadah ikonik Pantai Timur, sebagai platform mempromosikan makanan warisan dan budaya setempat.

Beberapa aktiviti sampingan turut diadakan seperti forum agama, seminar pembangunan produk, sesi Bicara Ikon Usahawan Wanita, demonstrasi masakan, pertandingan mewarna serta malam kesenian dan kebudayaan. Cabutan bertuah turut disediakan bagi pengunjung bertuah.

Dalam masa yang sama, inisiatif Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) juga dijangka memberi impak positif dengan tawaran diskaun sehingga 20% bagi barangan keperluan asas, sekali gus membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.

KUSKOP menyasarkan penganjuran program ini akan mendekatkan rakyat dengan aspirasi Malaysia MADANI, di samping menggalakkan penglibatan aktif dalam sektor keusahawanan dan koperasi.

Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai ke Showcase SDSI Wilayah Timur dan My Pride Fair Zon Timur yang akan berlangsung dari 28 hingga 30 Ogos 2025, bermula jam 9:00 pagi hingga 10:00 malam di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Kuala Terengganu. Masuk adalah percuma dan terbuka kepada semua.


Scroll to Top